Selasa, 22 November 2016

Keputusan mansuh atau tidak UPSR tahun depan, kata menteri

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Kementerian Pendidikan mula menjalankan analisis dan sedang mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memutuskan perkara tersebut.
mahdzir-upsr
KUALA LUMPUR: Keputusan cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka dimuktamadkan tahun depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mula menjalankan analisis dan sedang mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memutuskan perkara tersebut.
“Kita membuat analisa berdasarkan pandangan ahli akademik dalam negara, modul dari negara lain yang boleh diketengahkan dan juga daripada guru berpengalaman.
“Perbincangan baru dilakukan di peringkat kementerian, belum dibawa ke Kabinet. Saya akan maklumkan tahun depan sebab semua pandangan itu sedang dibuat analisa,” katanya kepada wartawan di Lobi Parlimen.
Beliau berkata pihaknya masih belum bercadang untuk memansuhkan UPSR dalam waktu terdekat kerana KPM baru saja melaksanakan format baharu UPSR tahun ini.
“Sesetengah negara seperti Perancis dan Finland, pentaksiran mereka berdasarkan penilaian sekolah termasuk pentaksiran psikometrik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tapi sebab kita berorientasikan peperiksaan, kita hanya tengok pada akademik saja dan tidak pada soal lain,” katanya.

Terdahulu ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) semasa menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Mahdzir berkata format UPSR tidak ditukar sewenang-sewenangnya kerana ia diperkenalkan sejak 2010.
Beliau berkata pelajar diberikan persediaan selama 6 tahun sebelum mereka menghadapi peperiksaan UPSR format baharu pada tahun ini.
Mahdzir pada 27 Oktober lalu memaklumkan kajian berkaitan cadangan untuk menggantikan UPSR dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah memasuki peringkat akhir.
Katanya sudah sampai masa untuk ujian berorientasikan peperiksaan yang dilaksanakan pada masa ini dikaji semula bagi menilai pencapaian sebenar murid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA