Isnin, 14 November 2016

Kepincangan tadbirurus: Pakatan pembangkang boleh betulkan jika bersatu, berpadu

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan ikatan parti-parti pembangkang  masih lagi longgar, antara sebab menyukarkan usaha untuk menjatuhkan Umno-BN.-Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan SallehTun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan ikatan parti-parti pembangkang masih lagi longgar, antara sebab menyukarkan usaha untuk menjatuhkan Umno-BN.
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya pakatan pembangkang sahaja yang boleh membetulkan kepincangan tadbirurus negara yang berlaku hari ini sekiranya mereka bersatu dan berpadu.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengelar Umno dan Barisan Nasional (BN) sebuah pakatan parti yang 'jahat' bukan perkara yang boleh diterima oleh rakyat.
"Jika kita sedar BN adalah satu pakatan berniat jahat kerana curi duit. Buat jahat bukan sesuatu yang boleh kita terima.
"Jika kita nak buat juga pakatan kita, kita adakan pakatan pembangkang untuk buat kebaikan pula.
"Hari ini hanya parti lawan sahaja boleh betulkan keadaan dalam negara," ujarnya ketika berucap pada Forum Khas bertemakan: Bersatu Meneroka Masa Depan  yang turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) dan Datuk Husam Musa (Adun Salor) sebagai panelis dan Datuk A Kadir Jasin (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM) selaku moderator di Bukit Jelutong, Shah Alam semalam.
Namun begitu beliau melihat kewujudan pakatan pembangkang sejak 60 tahun lalu dengan menghadapi 13 kali pilihan raya, ikatan parti-parti pembangkang masih lagi longgar, antara sebab menyukarkan usaha untuk menjatuhkan Umno-BN.
"BN kuat kerana berjuang dalam satu parti, satu simbol satu manifestor. Sebaliknya parti lawan masih belum sampai kepada tahap betul-betul bersatu walaupun ada usaha dilakukan ke arah itu tetapi masih gagal dilakukan.
"Selagi perkara ini tidak dapat dilakukan oleh parti lawan selama itu kita akan diperintah pemimpin kleptokrasi.
"Manakala kita tetap kekal sebagai parti lawan selamanya. Parti lawan tidak boleh buat apa-apa untuk laksanakan janji kepada rakyat dalam pilihan raya," ujar bekas perdana menteri yang pernah 22 tahun memerintah negara ini.
Dr Mahathir juga mengingatkan kepada rakyat akan kekuatan sebuah kumpulan itu apabila wujudnya perpaduan, walaupun kumpulan itu datang dari kumpulan yang lemah tetapi hal sedemikian telah terbukti ketika orang Melayu bersatu untuk menentang Malayan Union.
"Dulu orang Melayu yang berpecah telah bersatu padu apabila mereka bersatu dengan kaum lain melawan British dan tolak Malayan Union.
"Sebab itu kita harus ingat... apabila kita terima hakikat hanya dengan perpaduan sahaja baru kita boleh jayakan diri dan matlamat.
"Jika kita percaya hal itu, maka kita perlu ketepikan perkara titik bengit, hal yang kecil-kecil yang kita tidak dapat bersetuju dahulu dilupakan.

"Sebaliknya kita utamakan perpaduan untuk tujuan tertentu untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Umno-BN yang ada hari ini," ujarnya.
Dr Mahathir berkata, selagi ikatan pakatan pembangkang `longgar' selagi itu Umno-BN sukar ditumbangkan.
Ditambah perpecahan orang Melayu dengan tertubuhnya lebih banyak parti. Sudah pasti ujarnya, usaha ke arah itu akan menjadi sukar jika gagal untuk bersatu dan berpadu menentang kezaliman kerajaan Umno-BN di bawah pemerintahan Najib.
"Hari ini kita akui terdapat perpecahan di kalangan rakyat Malaysia terutama orang Melayu..kita menubuhkan lebih banyak parti politik hingga tidak lagi ada majoriti 60% apabila berpecah kita tidak lagi jadi majoriti tetapi jadi parti yang lemah.
"Parti yang lemah tidak mungkin berjaya. Mereka bekerjasama berpakat tetapi tidak ada satu semangat satu dorongan, satu kepimpinan," ujar Dr Mahathir lagi, selagi tiada kuasa menerajui kerajaan pusat pakatan pembangkang tidak boleh tentukan masa depan negara ini seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA