Selasa, 1 November 2016

Kenapa Riza naik jet kerajaan, sertai delegasi Malaysia ke China?

Rafizi berkata, Riza sepatutnya ditahan dan disiasat atas peranannya dalam skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang hari ini mempersoalkan keperluan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz menyertai lawatan rasmi delegasi Malaysia ke China.
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) berkata, Riza menaiki pesawat kerajaan dan ia jelas ditunjukkan dalam tangkap layar liputan RTM 1, ketika Datuk Seri Najib Razak tiba dengan pesawat khasnya di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Lawatan rasmi itu bertujuan membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, pertanian, pelancongan dan kebudayaan, sains dan teknologi.
“Kenapa Riza Aziz berada dalam jet yang dibayar dengan wang pembayar cukai? Ia ditunjukkan melalui tangkap layar RTM. Pesawat-pesawat ini mahal.
“Dia tidak boleh diberi layanan istimewa. Dia perlu ditahan dan disiasat,” kata naib presiden PKR itu ketika membahaskan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 20 Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB, di mana Riza dan jutawan, Low Taek Jho turut disebut dalam saman itu.
DoJ turut mendakwa Riza menggunakan dana 1MDB untuk membiayai pembikinan filem Wolf of Wall Street.

Rafizi mempersoalkan jika ia satu daripada faktor pembaziran dalam operasi kerajaan, kerana kajian yang dijalankan National Oversight and Whistleblowers (NOW) berdasarkan laporan ketua audit negara menunjukkan wujud banyak pembaziran dalam operasi kerajaan.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri China, Li Keqiang itu adalah yang ke-3 oleh Najib, sejak beliau dilantik menjadi perdana menteri pada 2009.
Beliau akan berada di China sehingga 6 November ini bersama rombongan 8 menteri dan 3 menteri besar, di mana lebih 10 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan bakal dimeterai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA