Khamis, 17 November 2016

Kenapa relakan diri diperbodohkan Mahathir, soal propagandis Pas


Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas menghadapi jalan sukar apabila akar umbi parti itu masih menyimpan dendam peribadi dengan pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir MohamadDalam satu tulisan yang disiarkan lidah rasmi Pas Harakahdaily, 16 Nov lalu, propagandis parti itu, Alang Ibn Shukrimun meluahkan kecamannya terhadap parti-parti politik yang bekerjasama dengan Tun Mahathir.
"Orang tua itu memang licik berpolitik. Tak padan dengan usianya yang hampir mencecah satu kurun. Langkahnya sentiasa mengejutkan dan kontroversial. Sampaikan yang muda pun boleh terkena 'serangan jantung' dan tersentak urat otak. Terus terpukau dengan gerak tarinya, dan terus lupa siapa diri dia sebenar.
"Tun M perlu diakui sebagai antara pencatur utama politik negara. Walaupun tanpa kuasa politik, tetapi pengaruhnya berjaya menundukkan ramai pemegang kuasa. 22 tahun sebagai PM, pasti dimana-mana sahaja orang kuatnya wujud. Anwar, Najib, Mat Sabu, Lim Kit Siang mahupun siapa sahaja pasti tenggelam apabila Tun memainkan peranannya.
"Siapa yang kenal Tun M sebenarnya, nescaya dia akan tahu apa matlamat beliau dalam politik. Walaupun lidahnya sentiasa mengungkap keprihatinan terhadap negara, tetapi di sebalik itu adalah cita-cita pengukuhan terhadap dinasti kroninya sendiri," tulisan anak pemimpin Pas Terengganu itu dipetik.
Beliau turut menyifatkan pihak yang bersama Tun Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai mudah melupakan keburukan yang dilakukan Mahathir "seolah-olah dipukau oleh orang tua tersebut".
"Kini team Mahathir merancang himpunan menjatuhkan Najib pula. Selepas gagal memobilisasi orang Melayu untuk turun bersama Bersih 4, sesetengah pembangkang yang gelojoh berkuasa lekas bergabung dengan team Mahathir dengan harapan pengaruh orang tua itu mampu meraih penglibatan Melayu yang selama ini ditagih," tulisnya lagi.

Beliau turut menyifatkan pihak yang menyokong penganjuran Bersih 5 kecewa apabila "Pas tidak mahu bersekongkol dengan rancangan Mahathir menyelamatkan Umno".
"Mereka tahu, tentu sukar menyeru kehadiran orang Melayu tanpa Pas. Diserang bertubi-tubi Presiden Pas kononnya sayangkan Umno, walaupun sebenarnya merekalah yang jadi keldai penyelamat Umno tanpa sedar.
"Sampai bila lagi mahu jadi boneka Mahathir? Selagi mana kebencian terhadap individu dijadikan sasaran politik, bukan kerana dasarnya atau pertubuhannya. Selagi kuasa jadi matlamat, bukan lagi nasib rakyat," ujar Alang Shukrimun.
Penulis yang sering mengetengahkan 'jalur pemikiran Pas Terengganu' itu juga yakin Tun Mahathir akan menggunakan pihak yang bersamanya "untuk ditunggang bagi menjimatkan tenaga".

2 ulasan:

  1. Pas terengganu toksah cakap banyak. Dapat peluang mentadbir ganu cuma dapat bertahan 1 penggal saja. Lagi mau cakap

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA