Sabtu, 26 November 2016

Kempen ‘Bebaskan Maria’ dilancarkan

Tony Pua bergurau dan menyindir kenyataan ketua polis negara yang Maria Chin perlu memohon tilam semasa dalam kurungan.
bebasmaria-1
PETALING JAYA: Hampir 1,000 orang menghadiri pelancaran kempen “Bebaskan Maria” di Dewan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, di sini lewat semalam.
Kempen dianjurkan jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 menggesa orang ramai menuntut pembebasan segera Pengerusi Maria Chin Abdullah, lapor The Sun Daily.
Aktivis berusia 60 tahun itu kini ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.
Portal berita itu berkata, antara mereka yang berucap pada majlis itu ialah Ahli Parlimen DAP Tony Pua, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan beberapa aktivis hak asasi manusia.
Penganjur mepaparkan sel penjara olok-olok dan memaklumkan Maria ditahan dalam sel berukuran 15×8 kaki.
Pua mengkritik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sebelum ini mendakwa Maria tidak meminta tilam dalam kurungannya.
“Jadi, saya mempunyai satu permintaan malam ini. Jika saya ditangkap, kamu semua perlu menuntut. Saya juga mahu tilam, selimut dan bantal. Tidak perlu penghawa dingin.
“Mungkin kipas. Jika boleh, berikan saya Wi-Fi percuma. Lebih baik beri saya PlayStation untuk masa terluang. ”

Pua juga mempersoalkan keperluan menjenayahkan penerimaan dana asing jika ia digunakan untuk meningkatkan demokrasi negara.
“Ratusan dan ribuan NGO dan syarikat, yang bebas dan berkaitan dengan kerajaan, juga menerima dana asing. Adakah itu salah? ”
Tiga anak Maria, Azumin Mohamad Yunus, 23; Aziman Maria Mohamad Yunus, 22; dan Azemi Maria Mohamad Yunus, 20, turut memberi ucapan, mengenang kenangan zaman kanak-kanak mereka.
Peguam Maria memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi untuk pembebasan serta merta beliau daripada tahanan. Mahkamah menetapkan Selasa bagi pendengaran permohonan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA