Selasa, 1 November 2016

Kementerian Kewangan anugerahkan lesen kepada China Construction Bank

Menurut Bank Negara kehadiran China Construction Bank dijangka mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan kedua negara
mof-cbc
PETALING JAYA: Kementerian Kewangan menganugerahkan lesen bank perdagangan kepada China Construction Bank (Malaysia) Berhad atau CCB Malaysia, anak syarikat milik penuh China Construction Bank Corporation Ltd.
Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan hari ini, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di China untuk kunjungan rasmi.
BNM menjelaskan penganugerahan lesen perdagangan kepada CCB Malaysia – kali pertama di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 – atas dasar “kekukuhan kehematan dan keupayaan China Construction Bank Corporation Ltd untuk memberikan manfaat kepada kepentingan Malaysia”.
Menurut BNM, CCB Malaysia akan memberikan tumpuan utama pada pembiayaan projek prasarana yang akan menambah nilai ke arah transformasi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Kehadiran CCB Malaysia dijangka mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan kewangan antara Republik Rakyat China dengan Malaysia, serta menyumbang ke arah pembangunan sektor kewangan yang berkesan dan dinamik di Malaysia.”
Pengumuman BNM itu menyusuli pengumuman Najib yang memuji China sebagai kawasan sejati dan rakan strategik.
Minggu lepas Dewan Rakyat meluluskan keahlian Malaysia dalam institusi kewangan antarabangsa yang dipimpin China, Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB).
China Construction Bank Corporation Ltd diasaskan pada 1954, dan pada 2015 berada di tangga ke-5 dalam kalangan bank tersenarai di dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA