Sabtu, 19 November 2016

Kematian Shukri membuka mata tentang derita rakyat biasa, kata Mujahid

Mujahid menyifatkan tindakan Shukri menamatkan hidupnya dengan "berkorban untuk Malaysia" sebagai pembuka mata terhadap penderitaan rakyat jelata di negara ini.
mujahid-shukri-saad
* NOTA PENGARANG: Laporan ini diperbetulkan selepas laporan asal “Mujahid sifatkan peniaga bunuh diri marhaen rajin mati syahid” mengandungi fakta salah. FMT memohon maaf atas kesilapan itu.
BUTTERWORTH: Pengerusi Amanah Pulau Pinang menyifatkan Shukri Saad yang terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah selepas ditangkap kerana menjual rokok seludup sebagai seorang yang sanggup menamatkan riwayatnya untuk membuka mata orang ramai terhadap penderitaan rakyat biasa sepertinya.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, niat Shukri hanyalah “berkorban untuk Malaysia”.
“Shukri bukan seseorang yang dipuji ramai, bukan orang terkenal atau ahli JKKK. Shukri hanya marhaen yang cuba mencari nafkah seperti orang lain.
“Walaupun dia melakukan perkara kejam dengan mengambil nyawanya sendiri, itu antara dia dan Allah. Saya harap Allah akan ampunkannya atas dosa-dosanya,” katanya pada sebuah program mengingati pemuda itu di Tasek Gelugor, semalam.
Turut hadir pada program berbentuk forum itu ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Sharif Omar, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.
Mujahid berkata, mesej yang cuba dibawa daripada tindakan drastik Shukri ialah bagaimana dia sanggup menjadikan dirinya korban semata-mata membuka mata rakyat mengenai kezaliman.
Pada 26 Oktober, Shukri yang berasal dari Tasek Gelugor, Butterworth, memuat naik nota bunuh diri di Facebook sebelum terjun dari Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Dua hari kemudian, mayat peniaga kedai runcit berusia 38 tahun itu ditemui terapung dengan batu terikat pada badannya dekat kawasan Batu Maung.

Katanya, keputusan membunuh diri itu diambil selepas Jabatan Kastam mendakwanya kerana menjual rokok seludup, kesalahan yang mungkin menyebabkan dia dipenjarakan.
Shukri mengkritik kerajaan dan pihak berkuasa memaksa dia membayar “ribuan ringgit” untuk ikat jamin dan denda.
Mujahid berkata, tindakan Shukri menunjukkan agensi penguatkuasaan kerajaan menyasarkan rakyat biasa melakukan jenayah yang hakikatnya boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil.
“Nampaknya apabila kecurian kecil berlaku, orang menjerit kuat,” katanya.
“Dan apabila orang miskin mencuri, pendakwaan dibuat serta-merta. Tetapi, apabila orang kaya mencuri, tiada apa dilakukan. Kadangkala mereka dilepaskan.
“Sudah tentu kita tidak boleh membiarkan salah laku Shukri, tetapi isu di sini ialah… adakah ia adil?” soal Mujahid.
Beliau mengaitkan Shukri kepada Mohamed Bouazizi, rakyat Tunisia yang membakar dirinya kerana layanan buruk kerajaan yang turut menyumbang kepada Revolusi Tunisia dan kebangkitan rakyat Arab menentang kerajaan.
“Lelaki ini seperti Shukri. Dia sekadar jual buah-buahan untuk sara hidup, tetapi kerajaan dan polis sering sasarkan dia atas kesilapan kecil. Ini bukan sesuatu yang anda pergi ke Bersih dan dapat jawapan anda. Orang itu tertekan.
“Selepas gagal mendapat respons kerajaan, Mohamed membakar dirinya. Dari sana, revolusi bermula. Presiden Zine El Abidine Ben Ali terpaksa berundur akibat tekanan rakyat.
“Tetapi, ia hanya menunjukkan apabila rakyat kecewa, ini boleh berlaku,” kata Mujahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA