Selasa, 8 November 2016

Kebebasan Dewan Rakyat di era saya lebih baik, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, semua perbahasan Parlimen mungkin dilarang sepenuhnya, kelak.
mahathirKUALA LUMPUR: Dua belas tahun selepas bersara daripada menjadi wakil rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini hadir di Parlimen bersama mereka yang pernah menjadi seteru politik beliau.
Bekas perdana menteri yang menjadi wakil rakyat Kubang Pasu selama 30 tahun itu mempertahankan kebebasan Dewan Rakyat di era beliau, dan berkata ia lebih demokratik berbanding sekarang di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Saya rasa sangat sedih kerana Parlimen ini bukan Parlimen yang kita ada sejak zaman (Perdana menteri Malaysia yang pertama) Tunku Abdul Rahman.
“Kecuali peraturan tidak menghasut kaum. Jika tidak, tiada sekatan dan tindakan diambil terhadap apa yang dikatakan di Parlimen.
“Walaupun ketika mereka kata saya mahazalim dan mahafiraun. Malah, kalau mereka mahu gelar saya seperti itu sekarang, ia tidak apa,” katanya pada sidang akhbar di bangunan sementara Parlimen, hari ini.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang berusia 91 tahun berkata, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah tentu mengotakan janjinya untuk melakukan pembaharuan Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, perubahan itu nampaknya lebih teruk dan pada masa depan, semua perbahasan mungkin dilarang sama sekali.
“Ia akan menjadi keadaan di mana anda hanya pergi ke sana dan seperti setiap penyokong kerajaan, katakan ya untuk semuanya.”
Mengenai dakwaan beliau seorang diktator yang melakukan kawalan paling ketat ke atas Dewan Rakyat, Dr Mahathir sebaliknya meminta contoh diktator yang meletak jawatan atas kehendak sendiri.
“Diktator mana yang letak jawatan apabila beliau masih berkuasa? Saya letak jawatan bukan kerana rakyat mahu singkirkan saya. Saya letak jawatan kerana ia adalah masa untuk orang lain ambil alih dan lihat apa yang berlaku.
“(Tetapi) Saya tidak kesal letak jawatan. Apa pun, akan tiba masanya anda perlu pergi 6 kali di bawah (kubur).”
Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang hadir pada sidang akhbar itu turut mempertahankan bekas musuhnya dengan berkata, tiada ahli Parlimen yang pernah dikenakan tindakan kerana membangkitkan isu dihadapi negara di Parlimen.
“Kami tidak mempunyai speaker yang mengeluarkan peraturan subjudis untuk keadaan yang sedang berlaku di negara lain, bagi menghalang perbahasan mengenai isu-isu penting.
“Kami berharap kehadiran Dr Mahathir hari ini, suara-suara bekas dan ahli Parlimen sedia ada akan didengari.
“Itu akan memberi mesej jelas bukan sahaja kepada speaker, tetapi juga perdana menteri, ketua polis negara dan peguam negara, untuk tidak melanggar imuniti dan keistimewaan Parlimen.”
Terdahulu, Dr Mahathir menghadiri mesyuarat khas mengenai keistimewaan dan imuniti ahli Parlimen di sini.

Turut hadir Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagaimanapun tidak hadir.
Lebih 30 wakil rakyat pembangkang menghadiri mesyuarat itu dan Dr Mahathir dalam ucapannya menyentuh siasatan polis ke atas 3 bekas menteri, iaitu Muhyiddin, Husni dan Shafie.
Mereka bertiga disiasat atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, 2 minggu lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB susulan laporan polis dibuat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA