Rabu, 23 November 2016

Keangkuhan Pandikar punca rakyat turun ke jalan raya

Keangkuhan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tanpa asas undang-undang antara faktor mendorong rakyat mengadakan tunjuk perasaan seperti himpunan BERSIH 5, baru-baru ini.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat tidak mempunyai banyak pilihan bagi menyelamatkan negara daripada terus dikuasai pemimpin kleptokrasi seperti Datuk Seri Najib Razak.

“Yang nyata adalah walaupun terbukti jelas jenayah dilakukan Najib, laporan kepada polis tidak boleh digunakan terhadapnya kerana Pendakwa Raya akan dakwa tiada kesalahan, sekali gus mengambil alih tanggungjawab hakim dan mahkamah.
“Apabila percubaan dibuat untuk mengadakan undi tidak percaya dalam Parlimen, Speaker dengan angkuh tanpa asas undang-undang atau cara demokrasi menyatakan dia tidak akan benar undi tidak percaya dibahas dalam Parlimen,” kata bekas Perdana Menteri keempat itu dalam blognya, semalam.
tun-mTun Mahathir berkata, ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan juga diketahui disogok dan tidak dibenarkan menyokong undi tidak percaya walaupun jelas menyedari jenayah rasuah dilakukan Najib.
Katanya, rayuan kepada pihak atasan dengan bukti berkenaan pencurian berbilion ringgit oleh Najib juga tidak mendapat layanan, sekali gus menambah kekecewaan rakyat.
“Ahli dewan yang dipilih rakyat sebagai jurucakap mereka sudah jadi bisu dan pekak. Hanya apabila kena cambuk parti barulah bergerak.
“Dalam keadaan inilah rakyat mengadakan demonstrasi melaungkan kehendak mereka supaya Najib undur,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA