Ahad, 6 November 2016

Keajaiban kenaikan kos sara hidup

Media arus perdana giat berusaha untuk mengalihkan pandangan rakyat kepada ‘isu yang lebih besar dan penting’ daripada kos sara hidup.
kos-sara
Kesempitan wang. Itulah yang membelenggu rakyat marhaen hari ini.
Kenaikan harga minyak masak ekoran pemansuhan subsidi ditambah pula kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen pada November menyebabkan ramai mengeluh. Rakyat marhaen merasakan seolah-olah ditampar 2 kali.
Walaupun sering diadu domba dengan pelbagai isu yang menjarakkan hubungan kaum, kini rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama bersatu di media sosial dan kedai kopi dengan perkongsian cerita kesusahan ekoran kenaikan kos sara hidup.
Cerita mengenai belanja keperluan asas, kegunaan anak-anak, harga makanan mentah dan masak di pasaran dan sebagainya menjadi topik yang merapatkan hubungan sesama rakyat.
Bukan itu sahaja, gosip mengenai kemewahan gaya hidup pemimpin negara dan urusniaga kerajaan yang tidak munasabah juga menjadi aktiviti yang memupuk perpaduan kaum dan agama dalam kalangan rakyat.
Inilah keajaiban yang tidak disangka-sangka, di sebalik kenaikan kos sara hidup ini. Siapa sangka ia dapat menyatupadukan rakyat sepertimana sukan.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila media arus perdana giat berusaha untuk mengalihkan pandangan rakyat kepada “isu yang lebih besar dan penting” daripada kos sara hidup.
Ledakan maklumat yang mendakwa adanya campurtangan George Soros dalam pilihan raya umpama peluru hidup untuk digunakan terhadap NGO dan media pro-pembangkang.
Tumpuan rakyat dialih melalui pelbagai kenyataan media mendesak siasatan dilakukan terhadap mereka yang didakwa menerima sumbangan Soros melalui Open Society Foundations (OSF), dan juga aksi Baju Merah yang berkunjung ke pejabat Malaysiakini.

Bukan itu sahaja, rakyat juga dibanjiri dengan berita ‘kejayaan’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa balik pelaburan lumayan dari China sehingga perbualan rakyat berubah daripada merungut mengenai kos sara hidup kepada teori konspirasi sekitar pelaburan berbillion ringgit dari China.
Masalahnya, rakyat kini tersepit tanpa alternatif yang boleh menggantikan kerajaan. Rakyat sedar pembangkang tidak lagi boleh bersatu.
Cuma rakyat tertanya-tanya bolehkah pembangkang dapat berdamai dan bersetuju menghala senapang mereka pada dalang yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin sengsara?
Sekiranya perkara itu dapat dicapai oleh pembangkang, percayalah isu kos sara hidup ini sudah cukup untuk menggerunkan BN di Pilihan Raya Umum ke-14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA