Rabu, 16 November 2016

Kanun mahu polis sensitif unsur provokasi Bersih 5


Wan Anwar Wan IbrahimWan Anwar Wan IbrahimBiro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) mengingatkan pihak keselamatan agar lebih sensitif terhadap unsur-unsur provokasi yang bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seterusnya menggagalkan perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi Kanun, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, unsur-unsur provokasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada kumpulan-kumpulan yang menentang perhimpunan aman tersebut dengan cara penyamaran dengan memakai baju Bersih.
"Pihak keselamatan harus lebih fokus untuk mengawal selia perhimpunan dan memastikan ia dapat dijalankan secara aman bagi memenuhi semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan peruntukan Seksyen 8 Akta Perhimpunan Aman 2012 ('Akta 736').
"Semua pihak termasuk pihak keselamatan harus menghormati hak warganegara untuk bersuara dan berhimpun selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pihak polis menghalang kumpulan baju merah yang merancang mengadakan perhimpunan balas terhadap Bersih 5 kerana peruntukan Seksyen 18 dibaca bersama Seksyen 3 Akta 736 tersebut jelas tidak membenarkannya.

"Walaubagaimanapun, Kanunjuga akan membantu pihak keselamatan dengan memantau pelaksanaan SOP mereka dalam memastikan keamanan perhimpunan tersebut," katanya.
Beliau juga memaklumkan, Kanun menyediakan pasukan peguam yang akan bertugas pada hari tersebut.
"Selain daripada pasukan peguam yang datang daripada seluruh negara, Kanun juga telah mewujudkan bilik gerakan bagi mengumpulkan maklumat atau aduan jika berlaku sebarang tangkapan semasa perhimpunan aman tersebut," katanya yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA