Isnin, 14 November 2016

Kami dah lelah dengan politik Malaysia

Rakyat Malaysia termasuk golongan muda merasa amat lelah, hanya melihat keadaan yang berlaku di negara kita terutama di kedua-dua belah pihak politik, kerajaan dan pembangkang.
politic-malaysia
Oleh Yunus Tasim
Baru-baru ini saya berjumpa dengan beberapa anak muda berumur antara 22 hingga 26 tahun. Ada yang belum mendaftar sebagai pengundi, ada yang sudah mendaftar tapi belum pernah mengundi dan ada pula pernah mengundi sekali di PRU13.
Mereka lulusan universiti dan menguasai bahasa Inggeris yang baik, lebih baik daripada pekerja muda di pejabat saya.
Daripada perbualan kami, saya boleh rumuskan mereka juga banyak membaca termasuk apa yang ada di Internet dan media sosial, dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan mereka juga mengikuti tulisan saya di FMT.
Bila saya ajukan beberapa pertanyaan berkenaan dengan Malaysia, ekonomi, politik, 1MDB, parti yang memerintah dan parti pembangkang, purata mereka mempunyai maklumat yang baik dan agak terkini. Mereka boleh mengupas sesuatu isu tetapi tidaklah mendalam mungkin kerana latar belakang dan keterlibatan mereka.
Apa yang memeranjatkan saya, hampir semua senada memulakan jawapan yang hampir serupa dengan: “Uncle, actually we are fatigued politically”. Dalam bahasa kita ia bermaksud “Pakcik, kami sebenarnya lelah dengan politik Malaysia”.
Mereka kaum muda dan segar, mungkin belum terlibat dengan mana-mana parti politik di Malaysia. Mereka merasa amat lelah, hanya melihat keadaan yang berlaku di negara kita terutama di kedua-dua belah pihak politik, kerajaan dan pembangkang.
Pagi tadi setelah kuliah subuh di surau, saya sarapan pagi bersama beberapa jemaah. Sambil makan kami berbincang daripada soal iman, ibadah sampailah kepada hal ehwal semasa negara. Di antara mereka ada seorang arkitek muda lalu berkata: “Haji, we are doomed! Just last 10 days a minister denied that LPG gas will not increase in price, now its increased. But we are really helpless. That is the situation that I can describe on Malaysia, right now!”
Kalau diterjemahkan ia menggambarkan seolah-olah rakyat selalu diperbodohkan. Yang menyedihkan, rakyat seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. Walaupun sebenarnya kuasa memilih dalam politik demokrasi berada di tangan rakyat.

Tapi tidak di Malaysia. Kita dikuasai PM yang kuasanya terlalu besar, dan boleh ditafsirkan sebagai di atas undang-undang itu sendiri. Apa tidaknya? Institusi utama negara yang menjamin keluhuran undang-undang semuanya lapur kepada dan di bawah kuasa perdana menteri.
Peguam negara, audit negara, SPRM, PDRM, SPR dan ketua hakim negara semua di bawah perdana menteri. Bagaimana mungkin mereka boleh menjalankan tugas secara telus, berani dan adil?
Itulah dua senario yang “real” di negara kita sekarang. Yang satu “lelah” dan yang satu lagi “kecewa” kerana tidak boleh berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan. Dan kalau ini berterusan, tidak hairan apa yang terjadi di Amerika dalam pemilihan presiden mereka baru-baru ini akan terjadi di Malaysia.
Sebanyak 25.5% mengundi untuk Donald Trump dari Republican, 25.6% mengundi untuk Hillary Clinton dari Democrat dan 1.7% untuk calon bebas atau Third Force Johnson. Dan tentu kita tidak terperanjat selebihnya iaitu 46.9% tidak keluar mengundi. Yang tidak mengundi mungkin di kalangan yang tidak suka kepada ketiga-tiga calon presiden dan saya rasa majoritinya daripada kalangan anak muda yang saya gambarkan di atas iaitu mereka yang lelah dan kecewa dengan politik Malaysia.
Kalau ini berlaku, maka tidak mustahil keadaan kelelahan dan kekecewaan sekarang akan terus berlaku, Malaysia akan terus dipimpin pemimpin yang wewenang menyalahgunakan amanah dan kuasa dan rakyat terus diperbodohkan dengan menteri dan ahli politik yang kurang cerdik .
Apa tidaknya? Rakyat yang cerdik pandai, yang mempunyai maklumat benar akan memboikot dan tidak mengundi di PRU14 ini kerana kelelahan dan kekecewaan itu.
Yang akan mengundi orang hulu dan kampung yang tidak mempunyai maklumat dan mudah digula-gulakan mungkin dengan BR1M dan sedikit barang dapur dan sekolah semasa pilihan raya nanti.
Di sinilah kita semua harus memainkan peranan dari sekarang. Pastikan rakyat mendapat maklumat yang betul dan merasa tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang adil, amanah dan bijaksana.
Juga kepada Hadi, Hashim dan PAS, jangan lah syiok sendiri ingin menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia. Daripada situasi di AS dan di mana-mana di dunia, kuasa ketiga tidak akan ke mana-mana.
Malah ia akan memecahkan undi dan menjadikan yang korup terus berkuasa dan kemudian bermaharajalela menyalahgunakan kuasa. Kecuali kalau itu yang PAS mahu hingga kesalahan salah guna kuasa dan rasuah pun disamakan dengan kes hudud zina memerlukan 4 saksi mata.
Jadi? Lu fikirlah sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA