Ahad, 13 November 2016

Kami akan halang Bersih 5 dengan apa jua cara, kata Jamal

Jamal berkata, usaha menghalang perhimpunan Bersih 5 diadakan pada 19 November ini lebih penting daripada tahap keselamatan di ibu negara, walaupun Maria Chin Abdullah berjanji ia bakal berlangsung dalam keadaan aman.
jamalKUALA LUMPUR: Gerakan Baju Merah akan menghalang perhimpunan Bersih 5 diadakan minggu depan menggunakan “apa jua cara”, manakala Maria Chin Abdullah pula berjanji himpunan itu bakal berlangsung secara aman.
Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos berkata, usaha menghalang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November ini lebih penting daripada tahap keselamatan di ibu negara.
“Apa sahaja yang akan berlaku saya tidak peduli, isu keselamatan menjadi nombor 2 dalam senarai kami. Bagi kami, ia adalah penting untuk menghalang mereka dalam apa jua cara.
“Kami akan berada di mana dan bila-bila sahaja Bersih pergi. Bagi kami, tujuan utama kami ialah menghalang Bersih mengadakan perhimpunan,” katanya kepada FMT.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengulas nasihat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kepada Bersih dan Baju Merah untuk tidak bertembung pada perhimpunan Sabtu depan.
Menteri belia dan sukan itu bimbang jika kedua-dua pihak itu bertembung, keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam di kawasan terbabit akan berlaku.
Jamal bagaimanapun berkata: “Kami tidak setuju dengan Khairy. Kami tidak mahu Bersih wujud”.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria bagaimanapun berjanji perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

“Walaupun Baju Merah menyerang kami, kami tidak akan melawan. Jika mereka menghalang laluan kami, kami hanya akan duduk. Keganasan datang daripada Baju Merah,” katanya sambil menambah Bersih menyerahkan perkara itu kepada polis.
Beliau berkata, pemantau pilihan raya itu mempunyai rekod bersih mengadakan perhimpunan aman, sebaliknya Baju Merah yang menimbulkan masalah, jadi polis perlu mengawasi mereka.
Perhimpunan Bersih 5 dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang Sabtu depan, di mana peserta akan berhimpun di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara sebelum berarak ke sekitar Dataran Merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA