Isnin, 7 November 2016

Kadir: Ramai orang media simpati pada BERSATU

Tokoh wartawan negara Datuk A Kadir Jasin mendakwa ramai anak buah dan rakan seperjuangan dalam dunia kewartawanan bersimpati dengan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Mengaku “terperanjat tetapi gembira”, Kadir berkata ramai memaklumkan padanya sudah menyertai parti itu, termasuk sebilangan yang membentuk pasukan sukarela untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kewartawanan dan komunikasi.
“Salah seorang daripada mereka yang dulunya setiausaha akhbar seorang menteri Umno berbisik memberitahu dia sekarang membantu mendaftarkan ahli PPBM (BERSATU) di kawasannya,” katanya.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press itu juga berkata beliau faham kedudukan pihak yang masih bekerja dengan media kerajaan dan arus perdana.

“Tidak perlu mohon maaf, membuat justifikasi atau berasa inferior.

“Saya faham sekarang kadar pengangguran sedang meningkat – lebih 515,000 kini menganggur - dan kalau diberhentikan susah hendak dapat kerja gantian,” katanya yang dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU minggu lepas.

Beliau bagaimanapun mengaku bagi sesetengah pihak, bukan mudah mengubah arah tujuan dan set minta setelah lama berkhidmat atas landasan Umno.

Malah, akui Kadir, beliau sendiri sendiri yang "membawa" mereka ke arah itu.


“Tetapi saya yakin mereka sendiri telah sedar bahawa apa yang mereka perjuangkan dahulu bukan lagi asas kepada tindak tanduk kerajaan yang ada hari ini.

“Keadaan telah berubah. Perjuangan, kalau masih ada, hanyalah untuk kantung sendiri saja. Cogan kata untuk agama, bangsa dan negara setakat penyedap mulut saja.
“Apa yang kita bina dahulu bukan lagi acuan yang diguna pakai hari ini. Malah seperti kita baca, sebaliknya yang sedang berlaku. Legasi perjuangan kita sedang dimusnahkan.,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA