Selasa, 22 November 2016

Jufazli kembali fokus pendidikan politik masyarakat

Selepas bebas daripada tahanan, aktivis itu berkata beliau akan turut bekerjasama dengan parti politik lain yang benar-benar mahu melawan BN di Sabah.
Jufazli-Shi-Ahmad
KUALA LUMPUR: Sebaik dibebaskan daripada tahanan reman, aktivis muda Sabah Jufazli Shi Ahmad tidak membuang masa sebaliknya meneruskan kerja yang dijalankan sebelum ini.
Jufazli berkata beliau kini kembali fokus kepada hal pendidikan politik untuk masyarakat di bawah Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, persatuan yang diasaskannya.
“Pada masa sama, saya bekerjasama dengan parti politik lain yang betul-betul melawan Umno BN, walaupun tidak menjadi ahli,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pada 15 November, beliau yang ketika itu ditahan reman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau dibebaskan dengan jaminan polis, selepas ditangkap di pusat beli-belah di sini kira-kira seminggu sebelumnya.
Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, susulan mengkritik kerajaan Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Facebook.
Jufazli berkata beliau yakin siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadapnya tidak akan disusuli dengan pendakwaan.
“Sekarang masih menunggu laporan forensik oleh KMM, manakala komputer riba dan telefon saya turut dirampas polis (untuk siasatan). Tetapi saya jangka hasil laporan akan negatif, dan tiada dakwaan,” katanya.

Ketika ditanya perancangan masa depan akan datang, beliau tidak menolak kemungkinan Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah akan menghantar sekumpulan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Kita realistik, walaupun Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah adalah gerakan masyarakat tetapi pada masa sama kita percaya kepada medium pilihan raya, jadi kena berlawan (di platform itu).
“Ini calon wakil anak muda Sabah dan kami masih belum tahu di bawah parti mana. Ia (parti pilihan) juga bergantung kepada pandangan masyarakat sekeliling, bukan keputusan sendiri saja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA