Selasa, 29 November 2016

Jika Umno jatuh, Melayu juga akan rebah - Ab Rauf

Bangsa Melayu berdepan krisis apabila kekuatan politiknya kini sedang diracik-racik oleh propaganda pembangkang sehingga menyebabkan mereka berpecah dan menjadi minoriti dalam konteks kuasa politik di negara ini, kata Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sambil menafikan Umno yang menghadapi krisis, Ab Rauf berkata, perpecahan bangsa itu perlu dipandang serius kerana boleh menghakis kuasa politik Melayu untuk terus memegang kuasa sebagai tunjang pemerintahan di negara ini.
“Ada pihak yang mendakwa Umno kini sedang dilanda krisis kepercayaan dan perpecahan daripada bangsa Melayu, namun hakikatnya bangsa Melayu itu sendirilah yang sedang menghadapi krisis ini.
“Kekuatan politik bangsa Melayu kini seolah-olah sedang diracik-racik sehingga boleh menjadi minoriti di dalam kekuasaan politik negara biarpun kita merupakan bangsa majoriti di negara ini, namun ramai yang tidak menyedari akan perkara ini,” tegasnya, memetik laporan Umno Online.
Justeru, jelas Ab Rauf, jika tiada tindakan diambil mengenai, kedaulatan serta hak istimewa orang Melayu akan terancam seterusnya melucutkan kuasa politiknya.
“Apabila Umno jatuh dan rebah, maka bukan Umno itu sahaja yang rebah, sebaliknya akan turut terikut rebah dan tersungkur adalah maruah dan kedaulatan bangsa Melayu itu sendiri apabila kuasa politik dalam mentadbir negara tidak lagi menjadi kuasa majoriti buat bangsa ini,” ujar beliau.
Oleh itu, tambah Ab Rauf, anak-anak muda khususnya mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan dan pewaris kepada perjuangan anak bangsa ini perlu menjadi benteng pertahanan menangkis segala serangan pihak tertentu.
Beliau mengingatkan: “Apa yang dinikmati oleh anak-anak bangsa hari ini adalah hasil perjuangan Umno yang telah mengikat Akta 153 dalam usaha mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini.

“Hak-hak istimewa yang diikat melalui Perlembagaan inilah yang menjadi antara faktor di mana hari ini segala kemudahan pendidikan dan lain-lainnya dapat dinikmati oleh generasi anak bangsa Melayu sekarang.
Sekiranya anak-anak muda hari ini tidak mempertahankan perjuangan terdahulu, jelasnya lagi, tidak mustahil hak-hak orang Melayu akan hilang dan tidak akan dapat dinikmati oleh pewaris bangsa Melayu yang akan datang.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab generasi muda hari ini yang telah diberikan kemudahan pendidikan yang sempurna untuk mempertahankan segala perjuangan orang-orang terdahulu untuk memastikan segala kenikmatan dan kemudahan yang mereka perolehi dapat dipertahankan bagi generasi-generasi seterusnya,” ujarnya.

1 ulasan:

  1. Anak-anak muda jangan mudah terpedaya dengan sandiwara pemimpin yang sudah senang lenang kerana mengampu. Jika Umno rebah, Melayu tak ikut rebah. Cuma yang rebah bersama Umno adalah para penjilat yang sudah senang lenang. Contoh yang paling ketara kita lihat di Kelantan dan juga Selangor. Siapa yang rebah? Melayukah atau para penjilatkah?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA