Khamis, 3 November 2016

Jika tanpa himpunan Bersih kita tidak tahu apa berlaku hari ini

Walaupun 10 tahun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ditubuhkan tetapi masih ada pihak yang bertanyakan faedah gabungan massa itu seperti yang boleh dilihat dalam komentar umum di media sosial.
Menjawab persoalan tersebut, Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Ahmad Syukri Abd Razab berkata, rakyat sebenarnya memperoleh banyak manfaat sama ada secara langsung mnahupun tidak langsung daripada siri tuntutan kepada perubahan dalam proses pilihan raya di negara ini.
“Tanpa himpunan Bersih kita tidak tahu apa yang berlaku dan telah dicapai pada hari ini. Suara rakyat yang berkumpul di jalan raya banyak menghasilkan perubahan yang lebih baik kepada demokrasi sekaligus rakyat menikmati banyak faedah.
“Perjuangan Gerakan Mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) selama 20 tahun contohnya, dengan demonstrasi demi demonstrasi akhirnya menyaksikan akta drakonian itu dimansuhkan. Akhirnya kerajaan terpaksa dengar,” tegasnya dalam Wawancara Menuju Bersih 5 di Radio Bangsar Utama, semalam.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilakukan pihak kerajaan terhadap tuntutan Bersih termasuk demonstrasi penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November 2007 di luar Istana Negara yang menyaksikan ratusan ribu rakyat turun menyertai Bersih.
“Kita jangan lupa kesan daripada himpunan Bersih terhasilnya banyak inisiatif dalam proses tambah baik perjalanan pilihan raya walaupun kita tidak berpuas hati dengan isu pengundian awal dan penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal.

“Jawatankuasa peringkat Parlimen untuk mernyemak semula sistem pilihan raya juga diwujudkan. Itu semua hasil desakan Bersih,” jelasnya yang juga bekas bekas Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu.
Mengulas lanjut, Syukri berkata tuntutan Bersih juga tidak harus terhenti pada perhimpunan di jalan raya sebaliknya rakyat perlu sentiasa diberikan pencerahan.
“Kita perlu yakin, tuntutan mesti konsisten dan jangan sekadar demonstrasi sebaliknya setiap kita menjadi ejen penerangan untuk memastikan desakan terus berlangsung walaupun demonstrasi telah selesai,” tegasnya lagi dalam wawancara selama sejam yang dimoderatorkan wartawan Malaysia Dateline, Arif Atan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA