Jumaat, 4 November 2016

JIKA MATI, KITA MATI BERSAMA – KATA SAKSI KES WANG HARAM 1MDB


Seorang saksi memberi keterangan di mahkamah Singapura bahawa bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei menggesanya untuk berbohong kepada polis mengenai aliran dana tertentu yang mengaitkan Yeo dengan 1MDB.
Samuel Goh, 41, yang sebelum ini adalah seorang pegawai kanan NTUC Singapura, memberitahu mahkamah semalam bahawa beliau “berat hati” untuk berjumpa dengan Yeo dan Kevin Swampillai, juga dari BSI pada 27 Mac tahun ini.
Pada perjumpaan itu, Yeo merancang satu “cerita pelaburan” yang mereka bertiga perlu beritahu pihak polis mengenai aliran dana yang mencurigakan berkenaan.
“Yeo berkata, sudah sampai masa mereka bergandingan tangan dan memberi penjelasan yang sama… seluruh skema bagaimana wang yang diterima oleh Bridge Global Managers (syarikat pesisir yang dikawal oleh Yeo dan Swampillai) adalah sebenarnya wang saya,” kata Goh.
Beliau juga memaklumkan bahawa pertemuan diadakan pada malam itu di Kelab Swiss. Swampillai adalah ahlinya.
“Yeo berkata mereka harus bergandingan tangan, ini cerita kita – jika kita berjaya , kita akan hidup bersama. Jika mati, kita mati bersama,” kata saksi itu seperti yang dilaporkan di Straits Times, Singapura.
Yeo berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan proses keadilan kerana didakwa menggesa saksi berbohong kepada polis ketika beliau dibebaskan atas jaminan, selepas polis menahannya pada 17 Mac.
Ini berhubung dengan siasatan pengubahan wang haram terbesar di Singapura yang berkaitan dengan 1MDB.
Beliau juga berdepan dengan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan dalam perbicaraan berasingan yang dijadualkan tahun depan.
Goh, yang adalah saksi pendakwaan kedua, berkata Yeo menemuinya pada tahun 2012 untuk bertindak sebagai perantara bagi memudahkan pembayaran daripada syarikat pesisir 1MDB, Bridge Partners kepada Bridge Global Managers yang dikuasai oleh Yeo dan Swampillai.

Saksi itu kemudiannya menghuraikan hubungannya dengan Yeo sebagai kawan di mana kedua-dua mereka mengadakan pertemuan antara 2012 dan 2014, apabila bekas pegawai bank BSI tersebut mahu berjumpa.

Menjawab soalan peguam, Goh berkata Yeo meminta bantuannya untuk menubuhkan dana untuk Aabar Investments PJS Ltd pada tahun 2014.
Beliau berkata dirinya mengenali pelanggan itu sebagai Aabar tetapi tidak tahu nama penuhnya, Aabar Investments PJS Ltd.
Nama itu juga digunakan oleh entiti lain yang disebut dalam tindakan kleptokrasi Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang difailkan pada bulan Julai lalu. 1MDB didakwa menyalurkan AS$3.5 bilion kepada syarikat berkenaan.
Dana pelaburan Abu Dhabi pada April lalu menafikan sebarang kaitan dengan Aabar Investment PJS Ltd, yang berkongsi nama yang hampir sama dengan firma, Aabar Investments PJS.
Swampillai, yang adalah saksi pertama, memberi keterangan sebelum ini bahawa hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho, membayar Yeo S$500,000 sebulan untuk bekerja dengannya.
Beliau juga memberi keterangan bahawa Yeo menjana S$26 juta (RM78 juta) ketika berusia 32 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA