Khamis, 17 November 2016

Jazlan: Mungkin tak salah kalau ahli Umno sekadar lalui kawasan himpunan

Beliau ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap ahli Umno yang menyertai tunjuk perasaan selepas pihak berkuasa mengisytiharkan ia himpunan haram
jazlan-merah-umno
KUALA LUMPUR: Ahli Umno yang dikesan berada di kawasan himpunan Gerakan Baju Merah belum tentu melakukan kesalahan kerana perlu dibuktikan mereka menyertai tunjuk perasaan itu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ada kebarangkalian mereka sekadar melalui tapak himpunan Baju Merah.
Beliau ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap ahli Umno yang menyertai tunjuk perasaan Baju Merah selepas pihak berkuasa mengisytiharkan ia himpunan haram.
“Mereka mungkin tidak menyertai himpunan, barangkali sekadar melalui kawasan itu. Pertama sekali kamu perlu buktikan mereka sudah melakukan kesalahan.”
Sebelum itu, Jazlan berkata ahli Umno yang menyertai tunjuk perasaan akan dikenakan tindakan displin sekiranya mereka melanggar undang-undang.
Gerakan Baju Merah pimpinan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berikrar akan mengadakan himpunan balas Bersih 5 pada masa dan ditempat yang sama, iaitu di Dataran Merdeka.
Polis mengumumkan semua penunjuk perasaan sama ada berbaju Kuning atau Merah yang berkumpul disitu akan dianggap melanggar undang-undang, memandangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengizinkan himpunan diadakan di situ.
Sementara itu, Jazlan menyifatkan seruan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada orang ramai supaya menyertai tunjuk perasaan Bersih 5 Sabtu ini sebagai suatu hipokrasi.
Menghentam bekas perdana menteri itu kerana menghasut orang ramai supaya berhimpun secara haram, Jazlan berkata Mahathir nampaknya menarik balik semua prinsip yang diaturnya semasa 22 tahun mentadbir negara.

“Semasa penyokong Anwar Ibrahim (bekas ketua pembangkang) turun berdemo di jalanan pada 1998, Dr Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negara terhadap mereka,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Nur Jazlan merujuk kepada gerakan Reformasi yang bermula ketika Anwar disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri, dan kemudian dipenjarakan atas tuduhan rasuah.
Mahathir dituduh menzalimi Anwar, tetapi di konvensyen Pakatan Harapan Sabtu lalu, negarawan 91 tahun itu didapati memakai lencana “Bebaskan Anwar”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA