Isnin, 14 November 2016

Jangan termakan umpan perkauman yang untungkan UMNO, pesan Dr Wan Azizah

dr-wan-azizah
SHAH ALAM, 14 NOV: Semua lapisan kaum negara ini diajak untuk menghapuskan politik perkauman sempit yang hanya dijadikan alat untuk menjaga kepentingan golongan elit penguasa yang korup dan tidak amanah.
Golongan itu, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sering menggunakan slogan kononnya demi ‘menyelamatkan bangsa’ sedangkan mereka menjadikannya modal untuk terus berkuasa dan mengaut keuntungan dari khazanah negara.
“Para juak yang menggunakan topeng kaum lebih berjaya bergelut mengaut kekayaan khazanah negara.
“Yang kaya dan beruntung adalah elit penguasa, tetapi yang dijaja adalah kepentingan kaum. Yang merosakkan institusi keadilan dan hukum; yang mengamalkan rasuah adalah pemimpin; tetapi rakyatlah yang digesa menyokong mereka. Kononnya demi menyelamatkan bangsa,” katanya dalam Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu lalu.
Menurut beliau prasangka perkauman yang sering dijaja itu perlu diruntuhkan demi menjadikan Malaysia lebih berdaulat dan adil.
“Kita tidak boleh diheret dengan prasangka dan kebimbangan lama; yakni terperangkap dengan politik perkauman sempit. Kekuatan Pakatan adalah justeru keberanian dan ketangkasan memecahkan tembok kaum, kelas dan agama.
“Hasrat kita bukan hanya menumbangkan BN tetapi meletakkan asas negara adil dan berdaulat. Kemenangan ini harus mengulangi tekad tegas untuk menjana perubahan.
“Jangan sekali kita diperangkap dengan taktik lapuk menakutkan Melayu dengan kehadiran DAP atau menakutkan Cina dan India dengan penampilan tokoh Melayu dan Islam,” tegasnya.
Justeru katanya, Pakatan Harapan perlu berani dan terus melipat gandakan usaha memberi penerangan dan kefahaman untuk memecahkan tembok perkauman yang dijaja selama ini.
Beliau masa yang sama turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan tegas menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak asasi dan kebebasan kepada seluruh rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kita parti nasional – dan kitalah yang tegas mempertahankan prinsip agama rasmi, bahasa rasmi, hak keistimewaan dan kedaulatan Raja-raja. Mempertahankan hak bahasa ibunda; amalan agama; kesaksamaan ekonomi seluruh rakyat serta prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Kita parti nasional – dan kitalah yang menjanjikan royalti 20 peratus untuk negeri pengeluar minyak; membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan mengimbangi pembangunan bandar dan desa, kota dan pedalaman, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Barang diingat, ‘Kita adalah parti nasional’, bukan mendukung faham parokialisme atau menyemai faham kedaerahan. Dasar kita adalah keadilan dan kesaksamaan berdasarkan prinsip luhur perlembagaan dan kebajikan semua rakyat,” kata Dr Wan Azizah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA