Isnin, 21 November 2016

Jangan sesekali ‘lelah dengan politik’, pesan Zaid

Zaid berkata, antara kejayaan Bersih ialah rakyat tidak lagi takut menyuarakan bantahan terhadap kerajaan.
zaid-ibrahimPETALING JAYA: Perkataan “lelah dengan politik” tidak patut wujud dalam kamus pihak yang menyokong pembangkang, khasnya di saat Maria Chin Abdullah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Datuk Zaid Ibrahim.
“Tolong berhenti beritahu saya yang anda lelah dengan politik, atau himpunan Bersih tidak mencapai apa-apa. Jika itu benar, Maria Chin tidak akan ditahan,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerusi catatan terbaru di blognya, hari ini.
Maria ditahan ketika polis menyerbu pejabat Bersih di Petaling Jaya, Jumaat lalu, sehari menjelang perhimpunan Bersih 5.
Peguamnya, Eric Paulsen berkata, pengerusi Bersih 2.0 ditahan di bawah Sosma yang digubal untuk menyekat penyebaran kegiatan pengganas.
Zaid yang mengecam penahanan itu berkata, antara kejayaan Bersih ialah rakyat tidak lagi takut menyuarakan bantahan terhadap kerajaan.
“Membuatkan orang turun ke jalan dengan jumlah besar adalah tanda tiada lagi ketakutan. Ini adalah kisah kejayaan Bersih dan Maria Chin. Sebab itulah penindas ini sangat takut kepada beliau,” katanya sambil menyifatkan Maria berani dan sumber inspirasi rakyat Malaysia.
“Maka, anda perlu teruskan apa yang sudah dilakukan agar kita semua berjaya mendapat kerajaan yang lebih adil dan saksama,” katanya.
Peguam Maria, Sivarasa Rasiah berkata, wanita itu kini ditahan dalam kurungan berasingan di tempat tidak diketahui.
Bersih 2.0 dalam sidang media semalam juga berikrar akan berjuang habis-habisan bagi memansuhkan Sosma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA