Selasa, 29 November 2016

Jangan paksa mahasiswa sokong Umno - Pemuda PAS

KOTA BHARU - Mahasiswa mempunyai sebab dan bukti kenapa mereka tidak perlu lagi menyokong Umno yang selama ini menjadi pentadbir kerajaan Malaysia.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bukti yang ada menunjukkan Umno bukan lagi parti yang layak untuk memerintah negara, sekali gus juga tidak relevan untuk disokong mahasiswa yang mahukan masa depan yang lebih baik.
Ahmad Fadhli Shaari “Kita lihat dari sudut pembelaan kepada bangsa Melayu, tanah rizab Melayu semakin merosot seluruh negara, kecuali di Kelantan yang ditadbir oleh Pas.
"Dari sudut pembelaan terhadap agama, kita sendiri boleh melihat bagaimana, walaupun kerajaan Malaysia memberi ruang terhadap pembentangan RUU namun ia tetap tidak setanding dengan keseriusan pembentangan daripada Pas itu sendiri.
“Sekalipun Pas hanya minoriti dalam parlimen, tetapi Pas berjaya membawa usul walaupun terpaksa mendapatkan kerjasama daripada Umno.
"Kita boleh bayangkan kalau Pas jadi kerajaan, maka sudah tentu usaha-usaha untuk jadikan undang-undang syariah ini lebih serius dilaksanakan berbanding hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Umno tidak memaksa mahasiswa menyertai parti itu, tetapi dalam keadaan sekarang, mereka sepatutnya berlapang dada dengan memberi sokongan supaya kerajaan dapat meneruskan perjuangannya membela orang Melayu dan agama.
Ahmad Fadhli berkata,  mahasiswa juga turut tidak ketinggalan terkesan dengan ekonomi kini, nilai mata wang semakin merudum, nilai barangan juga semakin tinggi dan tidak masuk akal, sehingga membuahkan kepada isu-isu lain.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan memberitahu, jika ini sudah membuktikan yang Umno tidak mampu lagi mentadbir negara dengan baik, maka tidak perlu ada mana-mana pihak yang menghalang mahasiswa atau rakyat untuk buat pilihan apa yang mereka mahukan.
“Kalau Umno kini sudah tidak boleh diharapkan untuk bela bangsa, agama dan ekonomi, saya kira mahasiswa yang terdiri daripada golongan yang cerdik pandai sudah tentu dapat memilih parti yang lebih baik daripada Umno untuk melaksanakan agenda yang lebih baik. Pada saya hanya Pas yang layak ganti Umno,” katanya.

1 ulasan:

  1. Pas bergabung dengan umno.
    Pas perlu sentiasa nampak di hadapan walaupun sudah bergabung. Istiqamah di hadapan.
    Biarkan UMNO di belakang Pas supaya senang dia control dan pegang tali yang mengikat setiap sendi Pas.
    Begitukah...
    Harap tiada lah istiqamah menangkan UMNO pula...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA