Rabu, 9 November 2016

JANGAN NAFI PENGARUH TUN MAHATHIR

BACHOK – Umno tidak boleh mengambil mudah pengaruh parti Bersatu yang dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, pengaruh yang dibawa Tun Dr Mahathir atau lebih dikenali sebagai Tun M itu tidak boleh dinafikan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang membesar ketika era pemerintahan bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata, BN perlu berhati-hati dan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menghadapi saingan Bersatu yang dilihat giat mendekati golongan muda dan luar bandar.
“Orang muda yang lahir dalam zaman Tun M dapat lihat bagaimana pemimpin itu mentadbir dan menguasai jiwa rakyat, itu kita tak boleh nafikan. Beliau bukan calang orang, ada pengaruh dan sokongannya tersendiri.
“Kita tak boleh ambil mudah, jadi kita kena kerja kuat untuk satukan rakyat. Bersatu pun macam Pas, dari DNA Umno. Namun, saya sedikit kecewa bila orang Melayu berpecah belah macam ni, sedangkan kita akan kuat jika perpaduan diutamakan,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan zakat pendapatan dan hasil padi Ladang Merdeka Kolam dekat Pak Badol, kelmarin.
Mengulas mengenai hasil ladang merdeka tersebut, Md Alwi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, perolehan ladang merdeka itu memberangsangkan sehingga ada petani yang memperoleh RM7,000 semusim dari enam hektar tanah.
Beliau berkata, ladang merdeka diusahakan Kada berbeza dengan projek padi lain yang diswastakan kerana ladang merdeka menjana hasil pendapatan membanggakan dengan 6.7 tan metrik/hektar iaitu RM3,340/hektar.
“Ladang Merdeka Kolam adalah antara yang menjana pendapatan terbanyak di Kelantan dengan keluasan 43.18 hektar melibatkan 146 petani.
“Kita memang berhasrat untuk luaskan ladang merdeka ni tetapi kerajaan masih belum ada peruntukan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA