Selasa, 15 November 2016

Jangan jadikan Malaysia kleptokrasi global, pertahan kedaulatan Parlimen

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengutuk tindakan Kerajaan Persekutuan mengekang kebebasan ahli parlimen berucap dan berbahas di Parlimen seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KEADILAN tidak mahu Malaysia dikenali kleptokrasi global ekoran kerakusan Perdana Menteri meruntuhkan institusi demokrasi dengan mencabuli kedaulatan Parlimen demi mempertahankan kuasa dan kebejatan pengurusan kewangan.
“Sekiranya kita mahu Parlimen Malaysia menjadi Parlimen kelas pertama di dunia, maka ahli parlimen wajar diberikan kebebasan berucap dan berbahas demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan Kerajaan mengasak dan menekan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan kepada polis berhubung perbahasan beliau berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen.
Tekanan politik sama turut dilakukan terhadap Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas perbahasan mereka di Parlimen.

“Beliau berusaha dari dalam kerajaan membanteras jenayah dalam skandal 1MDB, skandal kleptokrasi terbesar di dunia demi menyelamatkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
“Justeru, KEADILAN tuntas bersama Tan Sri Muhyiddin dalam perjuangan untuk melakukan perubahan,” Katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menggesa semua ahli parlimen tanpa mengira parti untuk bersatu menentang tindakan zalim regim Dato’ Seri Najib Razak.
“Tindakan ini jelas langkah terdesak Perdana Menteri membungkam suara ahli parlimen yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.
“KEADILAN tegas mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat menolak segala bentuk salah guna kuasa dan percubaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kleptokrasi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA