Selasa, 8 November 2016

Jamal sedia digari kaki dan tangan bagi lawan BERSIH5

Gerakan baju merah pimpinan Datuk Seri Jamal Md Yunos akan tetap turun berhimpun pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 November ini.
Menurutnya, mereka akan tetap meneruskan perancangan asal iaitu di mana BERSIH5 berada di situ merah akan bersama.
Malah, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata beliau telah lama bersedia untuk berdepan dengan BERSIH5.
"Kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berhadapan dengan BERSIH5.
“Kami juga sudah sedia untuk digari kaki dan tangan serta kepala. Jadi tidak ada masalah," kata Jamal kepada pemberita di hadapan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Terdahulu Jamal dipanggil bermesyuarat bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ASP Zainol Samah berhubung himpunan raksasa baju merah pada 19 November ini.
Jamal hanya keluar dari IPD Dang Wangi selepas dua jam bermesyuarat.
Mengulas lanjut, Jamal berkata pihaknya sedia menjadi pengawal keselamatan untuk BERSIH5 sekiranya pihak penganjur himpunan itu menukar lokasi himpunan mereka ke kawasan tertutup seperti di stadium.
Malah, pemimpin akar umbi Umno itu mencadangkan himpunan BERSIH5 diadakan di Stadium Shah Alam di mana kepimpinan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Kata Jamal baju merah juga bersedia membekalkan 2,000 orang sukarelawan bagi tujuan keselamatan.

"Kalau mereka setuju berhimpun di tempat tertutup seperti di Stadium Shah Alam kami akan beri tenaga pengawal 2,000 orang," katanya.
Pada 2 November lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz mengumumkan Dataran Merdeka adalah kawasan larangan bagi penyokong baju merah yang dikaitkan dengan Umno dan penyokong BERSIH.
Bagaiamanapun Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata BERSIH5 akan tetap diadakan di Dataran Merdeka kerana ia adalah milik rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA