Selasa, 22 November 2016

Jamal 'loqlaq': Itu hak cucu Tunku Abdul Rahman, kata Armand

Exco Pemuda Umno Datuk Armand Abu Hanifah berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kenyataan cucu perempuan Tunku Abdul Rahman, Tunku Munawirah Putra yang menempelak Datuk Seri Jamal Md Yunos dengan memanggil beliau sebagai "loqlaq".
Semalam, cucu bapa kemerdekaan menzahirkan rasa rimasnya setelah pengerusi gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia itu menggunakan imej datuknya pada kemeja-T merah kumpulannya dan memanggil Jamal sebagai 'loqlaq'.
Jelas Armand, ini kerana ia adalah sebahagian daripada hak kebebasan bersuara beliau dan proses demokrasi negara, tetapi Tunku Munawirah Putra juga perlu menerima apa yang dilakukan Jamal itu sebagai hak kebebasan beliau.
"Tiada masalah, kenyataan cucu Tunku Abdul Rahman itu kita anggap sebahagian daripada hak kebebasan bersuara.
"Beliau juga harus terima hak kebebasan Datuk Seri Jamal diiktirafkan sebagai warganegara Malaysia dan Tunku abdul Rahman pula merupakan salah seorang pemimpin utama di dalam Umno suatu ketika dahulu yang tidak boleh dipadamkan dalam sejarah.
"Jadi, saya secara peribadi rasakan luahan Twitter cucu Tunku Abdul Rahman itu sebahagian daripada proses demokrasi dalam negara,' kata Armand kepada Malaysiakini.

Loqlaq adalah perkataan atau dialek yang biasa digunakan oleh masyarakat sebelah utara di negara ini yang membawa maksud tidak senonoh.
"Oi Jamal hang nak buat apa dengan gambaq Tok aku tu. Haishh! Loqlaq," kata Tunku Munawirah menerusi tweet sambil meletakkan #BERSIH5.
Tunku Munawirah turut meletakkan sekeping gambar Jamal sedang memegang kemeja-T berwarna merah yang menggunakan imej Tunku Abdul Rahman semasa melaungkan pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Jamal kini baru sahaja dibebaskan selepas perintah tahanan reman selama empat hari bersama-sama dengan dua orang lain bagi membantu siasatan berhubung insiden di Ampang Point.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA