Rabu, 16 November 2016

Jamal jangan jadi jaguh, pesan Ali Tinju

Ali Tinju berkata, jika Jamal ada otak, dia akan mengikut arahan ketua polis negara supaya tidak mengadakan perhimpunan haram.
ali-tinju-jamal
PETALING JAYA: Mohd Ali Baharom sekali lagi memberi kata dua kepada musuh ketatnya, Datuk Jamal Yunos hari ini supaya tidak menjadi jaguh dengan mengadakan perhimpunan balas terhadap Bersih 5, pada Sabtu ini.
Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia itu yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, provokasi amat berbahaya dan tidak baik untuk negara kerana ia hanya akan menghuru-harakan Malaysia.
“Rakyat Malaysia ada 30 juta, yang nak buat hal hanyalah tak sampai 5% daripada kuning dan merah untuk menghuru-harakan malaysia ini.
“Sebagai rakan, kita dah tulis dalam Facebook. Kalau dia ada otak, dia ikut arahan ketua polis negaralah.
“Dia jangan anggap dia dapat duit daripada politik, dia nak tunjuk jaguh di Malaysia ini. So saya harap Jamal ni janganlah keterlaluan. Patuh arahan ketua polis negara, saya rasa benda ini akan selesai,” katanya sebelum membuat laporan polis terhadap gerakan Baju Merah dan Bersih 5 di Balai Polis Daerah Wangsa Maju, hari ini.
Mei lalu, kedua-dua lelaki itu bercakaran sesama sendiri, apabila Jamal menyifatkan Ali Tinju tidak setaraf dengannya, selepas mendakwa BN akan kalah besar jika ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, susulan kematian
penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lalu.
Bersih dijadual mengadakan perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu depan bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jamal berjanji akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada peserta himpunan Bersih 5 dan Baju Merah tidak menyalahkan polis jika bertindak terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang dalam perhimpunan haram pada Sabtu ini.
Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak menggunakan semburan air dan pepperball untuk menyuraikan peserta perhimpunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA