Selasa, 22 November 2016

Insiden kena ‘halau’, Umno mohon maaf pada media Pahang

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata petugas media adalah golongan profesional dan seharusnya mereka diberi ruang untuk menjalankan tugas secara profesional.
annuar-musa_umno_wartawan_600
KUALA LUMPUR: Umno memohon maaf kepada petugas media Pahang yang membuat liputan Konvensyen Umno negeri itu baru-baru ini yang didakwa diusir keluar dari majlis itu.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata petugas media adalah golongan profesional dan seharusnya mereka diberi ruang untuk menjalankan tugas secara profesional.
“Saya bagi pihak Umno Malaysia, memohon maaf kepada kawan-kawan (petugas media) yang bertugas pada hari itu yang terasa hati dengan insiden tersebut.
“Walaupun ini soal Umno Pahang, tetapi majlis itu majlis parti dan saya sebagai ketua penerangan, sudah tentu saya tidak gembira dengan apa yang berlaku,” katanya dalam catatan di laman rasmi parti itu, umno-online.my hari ini.
Sebelum ini, insiden petugas media yang didakwa diusir keluar majlis itu menjadi viral dan mendapat perhatian Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang mendesak permohonan maaf daripada Umno Pahang.
Sambil melahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku, Annuar berkata parti itu sangat memerlukan kerjasama daripada media dan faham mereka golongan profesional yang mempunyai tugas untuk dilaksanakan.
“Tetapi kadang kala sebagai manusia biasa, mungkin ada tersasul atau tersilap di sana sini,” katanya sambil berharap isu itu tidak dipanjangkan selain akan berusaha mencari jalan supaya ia dapat diselesaikan dengan baik.
Annuar berkata majlis yang dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein ialah majlis tertutup, namun pada upacara penutupannya berlaku sedikit salah faham antara Umno Pahang dan petugas media.

“Memang majlis itu tertutup dan petugas media tidak mengganggunya, namun difahamkan ia tidak lagi tertutup pada acara penutupannya kerana ada jemputan untuk media.
“Jadi wartawan tidak ada buat silap. Tetapi mungkin pada waktu itu berlaku sedikit salah faham sehingga ada kata-kata yang tidak enak didengar dan menyinggung perasaan para wartawan. Saya harap ini sebahagian yang berlaku sekali sekala dalam kehidupan kita sebagai manusia.
“Sebenarnya rakan media dan Umno bagi saya berpisah tiada. Seawal perjuangan menuntut kemerdekaan hubungan rakan media dan Umno sudah pun wujud,” katanya.

1 ulasan:

  1. Kata sampai kiamat pun tak pa. Dekat benor nak kiamat dah

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA