Rabu, 9 November 2016

Industri: ECRL boleh dibina pada harga setinggi RM36b, bukan RM55b


Pada kos sebanyak RM91.67 juta bagi setiap kilometer, pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menjadi salah satu daripada laluan kereta api dan kargo antara negeri yang paling mahal yang akan dibina di dunia, menurut pemain industri.
"Ia boleh menjadi projek infrastruktur kereta api yang paling mahal di dunia dalam kelasnya...Ia projek yang baik tetapi tidak pada harga yang tidak masuk akal ini," kata seorang eksekutif dari sebuah syarikat pembinaan.
Seorang penganalisis yang enggan namanya didedahkan turut bersetuju. "Terdapat unsur terlebih bayar tetapi tidak pasti apa perkaranya. Pengangkutan kereta api negeri tidak secara umumnya menelan kos yang begitu banyak."
Apabila ditanya sama ada harga yang tinggi itu mungkin kerana keperluan untuk membina terowong melalui banjaran gunung Titiwangsa, beliau menjawab 'tidak', memetik laporan oleh theedgemarkets.com.
Berbanding dengan projek MRT, LRT dan kereta api berkelajuan tinggi, ECRL adalah jauh lebih murah, namun, kesemua mod pengangkutan itu berada di bawah kategori yang berbeza.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan rasional kos pembinaan ECRL dengan harga berkenaan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.
Kata beliau, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya.
"Di manakah rasionalnya apabila kos pembinaan bernilai RM55 bilion, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta, sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya," kata beliau, memetik laporan Sinar Harian Online.
Justeru, beliau meminta satu jawatankuasa khas parlimen untuk membuat semakan.
Mengulas lanjut, laporan yang sama berkata, eksekutif berkenaan menganggarkan kos pembinaan landasan kereta api itu boleh dilakukan pada hanya RM36 bilion.
Beliau berkata, rakan sekerja industri pembinaan yang berasal dari Eropah pula percaya kos untuk pembinaan projek itu ialah RM32 bilion bagi keseluruhan laluan.

"Kedua-dua anggaran tersebut termasuk kos untuk membina terowong melalui banjaran gunung Titiwangsa," kata beliau lagi.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kos sebanyak RM55 bilion untuk projek ECRL tidak hanya membabitkan kos pembinaan sahaja.
Sebaliknya, kos tersebut merujuk kepada Perjanjian Rangkakerja Pembiayaan, Liow dipetik berkata kepada Sin Chew Daily hari ini.
Beliau menambah, kos pembinaan projek itu sangat telus kerana pemain industri tahu mengenai kos bagi setiap kilometer landasan kereta api yang dibina.
Liow juga berharap parti-parti pembangkang tidak akan mempolitikkan projek itu kerana ia membawa manfaat kepada ekonomi Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA