Khamis, 17 November 2016

India haramkan yayasan Zakir Naik, aktiviti dikaitkan keganasan

Zakir didakwa memberi banyak ceramah berbentuk provokatif dan kebencian serta propaganda keganasan.
zakir-naikKUALA LUMPUR: India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik selama 5 tahun.
The India Express melaporkan, IRF diharamkan kerana mengadakan aktiviti yang didakwa berkaitan keganasan.
Zakir yang datang ke Malaysia awal tahun ini dan mencetuskan perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, didakwa memberi ceramah berbentuk kebencian dan propaganda keganasan.
Beberapa kumpulan bukan Islam menggesa Putrajaya melarang ceramah beliau di negara ini dengan alasan Zakir dikenali dengan tindakannya memperkecilkan agama lain. Kerajaan bagaimanapun membenarkan beliau berceramah kepada umat Islam.
Malah, kerajaan Terengganu dilaporkan bersetuju memberi 3 pulau di Tasik Kenyir untuk kegunaan Zakir, sebelum Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan penawaran pulau itu kepada pendakwah India terbabit.
Ahmad Razif dipetik sebagai berkata: “Isu ini hanya salah faham. Kita ada permohonan daripada Dr Zakir (untuk mendapatkan tempat untuk bina IRF di Terengganu)…dan kita nampak ia boleh jadi peluang untuk promosikan pelancongan di Terengganu kerana kita sedar populariti beliau (yang mungkin dapat bantu tarik kedatangan pelancong).”
Zakir kini dilarang menjejakkan kaki ke United Kingdom dan Canada kerana ceramah berbentuk kebencian terhadap agama lain.
Zakir menjadi perhatian apabila seorang daripada penyerang keganasan di Dhaka, Rohan Imtiaz, memuat naik propaganda yang memetik nama Zakir di Facebook, tahun lalu.
The Indian Express melaporkan, pendakwah berpangkalan di Mumbai itu yang kini berada di negara lain, tidak pulang ke India sejak kontroversi itu bermula.
Akhbar itu turut melaporkan Kabinet India meluluskan cadangan mengisytihar IRF sebagai “pertubuhan haram” di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Haram selama 5 tahun.
“Agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang akan mengekalkan pemantauan ketat terhadap semua aktiviti yayasan itu,” kata seorang pegawai kanan kerajaan kepada akhbar itu.
Langkah itu diambil selepas siasatan Kementerian Dalam Negeri mendapati NGO itu didakwa mempunyai hubungan mencurigakan dengan Peace TV, sebuah saluran Islam antarabangsa didakwa menyebarkan keganasan.

Kementerian Dalam Negeri India turut berkata, Zakir yang mengetuai IRF didakwa memberi banyak ceramah berbentuk provokatif dan propaganda keganasan.
The Indian Express melaporkan Polis Maharashtra membuka siasatan jenayah terhadap Zakir kerana disyaki terbabit dalam meradikasikan pemuda dan menarik mereka menyertai aktiviti keganasan.
Pegawai turut mendakwa Zakir memindahkan dana asing IRF ke Peace TV untuk menghasilkan program “tidak menyenangkan”. Kebanyakan program yang dihasilkan di India dan didakwa mengandungi ceramah benci Zakir yang dilaporkan “menggesa semua umat Islam menjadi pengganas” melalui Peace TV.
Sebuah dana pendidikan kendalian Zakir dilarang menerima dana asing dan agensi kerajaan sedang menyiasat aktivitinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA