Rabu, 23 November 2016

IGP: Tahanan Maria berkaitan dokumen digeledah

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penangkapan dan penahanan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) 2012 tidak ada kena mengena dengan politik atau perhimpunan BERSIH5, Sabtu lalu.
“Penahanan tidak ada kena-mengena dengan politik. Tiada kaitan dengan BERSIH5.
“(Ia) kerana ancaman terhadap keselamatan negara,” kata Khalid pada sidang media di KLIA petang ini, sejurus tiba dari lawatan rasmi ke Manila.
Sambil menegaskan bahawa beliau perlu menjelaskan "kekeliruan" itu, Khalid berkata, Maria ditahan Jumaat lalu berikutan penemuan "dokumen" di pejabatnya yang memberi petunjuk bahawa satu kesalahan telah dilakukan bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.
"Pada 18 November, satu pasukan polis telah datang ke pejabat BERSIH membuat penggeledahan dan apa yang kami temui, beberapa dokumen-dokumen yang memberi petunjuk kepada kami bahawa satu kesalahan telah dilakukan, (iaitu) menggugat amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Oleh kerana cukup alasan untuk kita menyiasat dia di bawah (Seksyen) 124C, kita telah menahan dia selepas itu.
“Pada hari yang sama kita tahan dia dan prosedur siasatan adalah di bawah Sosma,” katanya.
Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai dokumen atau komputer yang dirampas dari pejabat BERSIH, selain daripada menyatakan bahawa polis sedang menyiasat kaitan badan itu dengan Open Society Foundation yang diasakan oleh George Soros.

1 ulasan:

  1. Klu dah ada bukti dakwa saja dimahkamah. Rakyat boleh tgk siapa yg bersalah

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA