Sabtu, 5 November 2016

IGP: Polis siasat Majlis Peguam berhubung dana Soros

Polis sedang menyiasat Majlis Peguam berhubung dana diterima daripada Open Society Foundations (OSF), yang dikaitkan dengan jutawan Amerika George Soros.
Ditanya sama ada Majlis Peguam disiasat di bawah Seksyen 124 C Kanun Keseksaan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, "Ya, betul."
Seksyen 124 C adalah peruntukan berkaitan kesalahan membabitkan aktiviti-aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.
Khalid berkata, lima anggota pasukan khas Bukit Aman yang menyiasat BERSIH dan Malaysiakini di bawah undang-undang yang sama juga telah ditugaskan untuk menyiasat Majlis Peguam.
"Sebaik sahaja siasatan selesai, kami akan mengemukakan penemuan kami kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Pada Khamis lalu, Majlis Peguam mengaku menerima RM53,757.13 (AS$ 15,000) sebagai geran untuk kajian penyelidikan ke atas pekerja asing di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam M Ramachelvam mendedahkan bahawa pemberian itu diterima pada 7 Januari 2015.
Beliau berkata jumlah itu digunakan untuk kajian penyelidikan dan bukan untuk operasi atau perbelanjaan pentadbiran badan peguam.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran juga mengaku menerima geran OSF, yang digunakan oleh KiniTV untuk menghasilkan program berkaitan Sarawak.

"Pemberian geran berkenaan adalah untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita di Sarawak, yang sukar dilakukan oleh Malaysiakini, memandangkan kos yang tinggi dan kesukaran ke negeri itu," katanya.
Beliau berkata geran itu hanya merupakan sebahagian kecil daripada pendapatan Malaysiakini, yang sebahagian besarnya bergantung kepada langganan dan pengiklanan.
“Kesemua bantuan berada bawah 10 peratus daripada bajet keseluruhan Malaysiakini bagi memasitikan laman web ini tidak bergantung pada satu sumber dana,” kata Premesh.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah menafikan bahawa dana daripada OSF digunakan untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA