Ahad, 20 November 2016

Ibrahim tak percaya parti politik Malaysia, Perkasa berjuang sendirian

Ibrahim berkata, Perkasa bukan barua Umno, manakala PAS, PKR, DAP, PPBM dan Amanah pula masing-masing mempunyai kepentingan politik sendiri.
ibrahim-ali_perkasa_6001
KUALA LUMPUR: Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan terus memperjuangkan hak orang Melayu bersendirian kerana tidak percaya dengan perjuangan parti politik sedia ada di negara ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, segelintir orang Melayu masih lupa apabila menyokong parti politik berasaskan kaum, iaitu DAP yang jelas hanya mahu memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja.
“DAP pada asas penubuhannya mahu merealisasikan ‘Malaysia Malaysian’. Itu jelas menolak hak orang Melayu dan Perkasa akan terus mempertahankan kedaulatan Melayu.
“Pada hemat saya PAS, PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah masing-masing mempunyai kepentingan politik,” katanya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Ke-7 Perkasa di Stadium Titiwangsa hari ini.
Pada masa sama, beliau mengulangi pendiriannya yang Perkasa bukannya barua Umno.
“Kita bukan barua Umno, sebab ada yang kata kita dengan Umno.”
Sementara itu, Ibrahim berbangga pemimpin dan ahli Perkasa tidak terlibat dalam perhimpunan Bersih dan Baju Merah yang dianjurkan semalam.

Katanya, peserta himpunan yang turut disertai Baju Merah itu seolah-olah menghadiri sebuah pesta.
“Baju merah dan kuning yang ada semalam macam meraikan pesta hu ra, hu re. Tetapi kita tetap meneruskan persidangan Perkasa semalam dengan semangat,” katanya di hadapan 2,000 ahli dari seluruh negara yang dirasmikan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.
Akhir bulan lalu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dilaporkan berkata, perhimpunan Bersih 4 ialah karnival, begitu juga Bersih 5.
“Jika orang anggap ia karnival, saya sangat gembira. Saya harap lebih ramai anggap ia taman permainan, bermain sambil memahami isu semasa negara,” katanya sambil menambah konsensus rakyat ialah kunci perubahan dan bilangan peserta perhimpunan adalah bukti terbaik bagi menunjukkan kesepakatan orang ramai kepada kerajaan.

1 ulasan:

  1. hahaha...ibrahim tak percaya parti politik malaysia...ataupun parti politik tak percaya ngan ibrahim katak....asyik melompat sana...sini.......dan mcm kacang lupa kan kulit tu saper yek......auta jer ibrahim nie....siapa tak kenal lalang2.....ibrahimlah orgnyer....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA