Rabu, 23 November 2016

‘Ibrahim Ali kecewa kerana Dr M, Anwar berkawan semula’

Bekas menteri itu berkata presiden Perkasa tidak senang dengan hubungan Dr Mahathir dan Anwar yang dijalinkan semula pada September lalu.
zam-ibrahim-aliPETALING JAYA: Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini mendedahkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali tidak mahu menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawan Barisan Nasional kerana bekas perdana menteri itu berkawan semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Secara peribadi, Datuk Ibrahim ALi memberitahu saya bahawa pokok utama beliau tidak dapat bersama dengan Dr Mahathir dalam parti Bersatu bukan kerana berkawan dengan DAP, tetapi kerana Mahathir berkawan semula dengan Anwar Ibrahim yang mahu menggulingkannya dahulu,” tulis Zainuddin, merujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Dr Mahathir.
Bekas ketua pengarang ketua pengarang Utusan Melayu yang dikenali dengan panggilan Zam itu mengulas kritikan Dr Mahathir terhadap Ibrahim semalam, susulan rancangan Perkasa meletakkan 50 calon bebas pada pilihan raya umum akan datang.
Dr Mahathir berkata beliau malu dengan Ibrahim yang dianggapnya penyokong kuat beliau, dan menyifatkan tindakan meletakkan calon bebas akan hanya merumitkan usaha pebangkang melawan BN.
Sebaliknya, Zam memetik Ibrahim sebagai berkata beliau “malu” dengan Dr Mahathir yang menjalinkan kembali persahabatannya dengan Anwar.
Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998, sebelum bekas timbalannya itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan kemudian didakwa atas tuduhan rasuah dan salah laku seks.
Selepas 18 tahun, kedua-dua pemimpin itu bersua kembali ketika Dr Mahathir hadir di mahkamah yang mendengar permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pertemuan itu kemudian disusuli dengan kenyataan bersama, dan isteri masing-masing turut mengadakan pertemuan tertutup.
Ibrahim yang melantik Dr Mahathir sebagai penaung Perkasa, merupakan sekutu kuat Dr Mahathir susulan pemecatan Anwar, dan kerap menganjurkan tunjuk perasaan menyatakan sokongan kepadanya ketika ibu kota dilanda perhimpunan reformasi setiap minggu.

“Datuk Ibrahim diketahui umum sebagai orang yang menyelamatkan Mahathir yang berada dalam keruncingan dan cabaran besar dalam mesyuarat Majlis Kerja tertinggi UMNO yang diadakan untuk memecat Anwar Ibrahim,” tulis Zam.
Zam dalam catatannya turut menasihatkan Perkasa lebih baik menjalinkan hubungan dengan DAP kerana parti itu merupakan pilihan bukan Melayu.
“MCA dan MIC sekarang tidak lagi mewakili orang bukan Melayu tetapi DAP secara demokratik telah mengambil alih peranan mereka mewakili majoriti bukan Melayu.
“Perkasa sewajarnya mengambil kesempatan emas ini untuk bangun bersama-sama golongan dinamik, progresif dan radikal bagi membangunkan suatu era politik baru di negara ini,” kata Zam.
“Saya juga telah memberitahu Perhimpunan Agung Perkasa dalam ucapan perasmian mesyuarat itu bahawa Ibrahim Ali tidak lagi sesuai di panggil katak kerana telah ramai pemimpin politik yang menjadi katak tetapi gelaran baru yang lebih tepat kepadanya ialah Belut Politik.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA