Rabu, 16 November 2016

Hutang: Lupakan saja Wawasan 2020, kata Dr Mahathir

Dalam blognya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata tabiat meminjam Datuk Seri Najib Razak akan membuat Malaysia bankrap dan negara ini bakal merosot sebagai peminta sedekah.
mahathir-2020
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir mendakwa 2 projek mega Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, iaitu Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan memberi kesan buruk kepada negara.
Menerusi artikel di blognya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata ini kerana kedua-dua projek itu akan menambahkan beban hutang negara serta menyebabkan wang mengalir keluar dari negara.
“RM55 bilion untuk ECRL akan dipinjam dari China, bermakna projek akan diberi kepada syarikat di sana. Ditambah dengan faedah, ia akan mencecah RM90 bilion. Negara juga perlu mengimport gerabak kerana kita tidak dapat membuatnya sendiri,” katanya.
Katanya, bagi HSR pula negara juga terpaksa meminjam kerana “umum mengetahui kerajaan tiada wang”.
Sehubungan itu, katanya akan berlaku aliran wang ke luar negara yang besar untuk tahun mendatang bagi membayar hutang tersebut dan ia tidak baik untuk negara.
Projek ECRL sah akan diberikan kepada China berikutan lawatan Najib ke Beijing hujung bulan lalu. Manakala bagi kontrak HSR, ekonomi kedua terbesar dunia itu masih menerima saingan dari Jepun.
Dr Mahathir mendakwa, kedua-dua projek itu ditambah dengan hutang 1MDB yang dijamin kerajaan yang kini mencecah RM5 bilion akan menyebabkan negara menanggung hutang RM200 juta.
“Hutang ini dibuat dalam mata wang dolar Amerika Syarikat dan Yuan. Dengan kemerosotan Ringgit yang berlaku dengan pantas, hutang negara akan menjadi lebih tinggi berbanding RM200 bilion.
“Negara akan menanggung hutang tambahan yang besar. Jika kerajaan menjual aset negara untuk membayarnya, sebahagian besar tanah bernilai di Malaysia akan dimiliki orang luar.
“Apabila nilai mata wang merosot, rakyat akan menjadi miskin. Selepas 60 tahun pertumbuhan, Malaysia akan kembali menjadi negara membangun yang miskin. Puncanya ialah tabiat meminjam kerajaan,” katanya.

Pada sesi Dewan Rakyat 25 Oktober lalu, hutang negara berada di tahap sederhana iaitu RM655.7 bilion, dan kerajaan terus komited untuk memastikannya tidak melebihi 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun, beberapa pihak termasuk pembangkang mendakwa angka itu tidak tepat, kerana tidak mengambil kira hutang dijamin kerajaan oleh entiti seperti syarikat berkaitan kerajaan.
Negara berhutang tidak merdeka
Dr Mahathir mengingatkan Malaysia akan mengikut jejak langkah Greece sebagai negara yang bankrap, jika amalan berhutang ini berterusan.
“Kita tidak akan mampu membayar hutang ini, sama ada (meminjam) dengan China atau negara lain. Jika gagal membayar, kita akan bankrap.
“Lupakan Wawasan 2020. Malaysia akan merosot sebagai peminta sedekah, dan negara yang bergantung kepada bantuan kewangan akan kehilangan sebahagian besar kemerdekaannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA