Jumaat, 4 November 2016

Husam: Menipu rakyat adalah berdosa



Datuk Anuar Tan
Saya merujuk kepada kenyataan media YB Dato Haji Anuar Tan pada hari ini, 3 November 2016.
Saya lebih rela menjadi harimau terluka kerana diburu dari dilihat sebagai kerajaan yang sedang melindungi unsur penyalahgunaan kuasa dalam berbagai cara dan berbagai skala.
KPK
1. Transaksi KPK dan Souncern diputuskan oleh Lembaga KPK pada 18 Mac 2014. Hampir setahun selepas Tok Guru tidak lagi menjadi MB. Tok Guru tidak menjadi MB sejak Mei 2013.
Kenapa nak ‘jual’ nama Tok Guru? Ini lah sebenarnya cubaan memalukan Tok Guru.
Perkara buruk hendak dilindungkan di belakang Tok Guru. Orang lain mendapat manisnya pada masa sekarang.
Tarikh transaksi ini membuktikan tindakan KPK menyerahkan pembalakan kepada Souncern semua kawasannya setiap tahun TIADA KENA MENGENA dengan Tok Guru.
2. Dalam tempoh sesingkat itu, Souncern telah pun mendapat lesen untuk membalak. YB Dato Hj Anuar sendiri mengakui semua senarai lesen membalak yang saya berikan adalah benar.
Kononnya satu proses yang lama diperlukan untuk kelulusan lesen dan dengan itu cuba dikaitkan kelulusan sekarang dengan keputusan Tok Guru adalah usaha yang memalukan.
KPK menandatangani perjanjian pada tahun 2014, 2015 dan 2016 sudah membalak.
3. KPK-Souncern memerlukan ketelusan.
Laporan Audit Dalam SUK sepatutnya menjadi asas rujukan utama jika YB Dato Haji Anuar Tan ingin berhujah atas tajuk ini.
Kenapa sepatah tiada rujukan terhadap Laporan Audit Dalam itu dibuat?
4. Berdasarkan Laporan Audit Dalam SUK ke atas KPK, maklumat berikut dinyatakan dengan jelas:
a. Tiada tender terbuka dilakukan. Hanya Rundingan terus. (muka surat 29 buku Laporan)
b. KPK telah menawarkan HARGA LEBIH RENDAH kepada Souncern berbanding keputusan Lembaga KPK pada 18 Mac 2014. Souncern diberikan harga hanya RM1,450 seekar untuk 2,000 ekar tebangan setiap tahun. (Muka surat 29 Laporan)
Lembaga memutuskan, harga RM1,800 se ekar bagi kawasan sudah kerja dan RM 4,000 se ekar bagi tebangan habis dengan nilaian RM 2.9 juta setahun. (muka surat 29 Laporan)
c. Keputusan Lembaga KPK tidak diikuti.
d. Kerugian setahun bagi KPK atas harga yang KPK sendiri putuskan tetapi tidak diikuti adalah RM5.7 juta. (muka surat 29 Laporan)
e. Harga RM 1,800 se ekar yang diputuskan oleh Lembaga KPK tetapi tetap TIDAK DIIKUTI adalah berdasar RM 300 se tan dengan anggaran keluaran hanya LAPAN TAN seekar bagi semua jenis kayu. (muka surat 29 Laporan)
f. Adakah harga semua kayu yang ditebang bernilai RM300 sahaja setan dan keluaran bagi setiap ekar purata hanya LAPAN TAN SAHAJA seekar?
g. Bolehkah YB Dato' Haji Anuar Tan, seorang Exco yang dikira dulunya sangat jujur dan berintegriti, memaklumkan pada rakyat Kelantan jumlah sebenar pengeluaran kayu-kayu oleh Souncern dari konsensi KPK ini?
h. Dari situ Rakyat Kelantan boleh menilai JUMLAH SEBENAR KERUGIAN.
i. Souncern GAGAL memenuhi perjanjian menyewa kilang KPK dengan RM 300,000 belum berbayar setakat laporan disiapkan.
j. Mesyuarat Lembaga KPK pada 18 Mac 2014 memutuskan KPK mesti memegang 30% saham dalam usaha sama dengan Souncern.
Souncern telah menubuhkan dua anak syarikat usaha sama itu KPK SK Timber dan SK Plantation. Masing-masing 70% saham dimiliki oleh Souncern. Laporan Audit pada muka surat 25 menyebut bahawa semakan Jabatan Audit dengan SSM mendapati 30% baki saham dalam KPK SK
Timber dimiliki oleh En Tan Wei iaitu setiausaha syarikat dan BUKANNYA KPK. Kedua anak syarikat ini, telah dibubarkan/struck out seperti terdapat dalam Laporan Tahunan Sern Kou iaitu syarikat induk Souncern.
k. Kaedah pembahagian keuntungan antara KPK dengan KPK SK Timber hasil USAHA SAMA tidak dapat dikenal pasti oleh Laporan Audit. (Muka surat 25 Laporan)

Laporan itu menyatakan wujud syarikat-syarikat bersama seperti CT Dragon dan DW Timber yang juga dikenali sebagai KPK SK Timber dan Ding Yau Entryang dikenali sebagai Souncern Timber.
Transaksi berlaku di mana KPK membuat bayaran kepada Ding Yau dengan deposit yang diterima dari CT Dragon bagi upah membalak dan kepada DW Timber bagi
upah loader. (muka surat 25 Laporan)
Dari pemerhatian Audit ini, ia satu transaksi yang pelik dan meragukan yang memerlukan penjelasan kerajaan atau KPK sendiri atau YB Dato Hj Anuar Tan selaku Exco terbabit.
l. Laporan Audit Dalam seperti ini tidak memerlukan pengesahan.
Sila YB Dato Hj Anuar Tan tunjukkan mana-mana peraturan yang mengatakan Laporan seperti ini memerlukan pengesahan Exco atau mana-mana pihak.
m. KPK boleh memberikan maklum balas berkaitan apa- apa yang dibangkitkan dan memandangkan saya telah mendedahkan kepincangan-kepincangan yang berlaku, adalah menjadi tanggung jawab KPK memberikan penjelasan terbuka kepada Rakyat Kelantan.
n. Meneliti maklumat berkaitan apa yang diatur antara KPK dan rakan kongsinya menunjukkan sesuatu yang berunsur penipuan/fraud, pecah amanah atau penipuan
mungkin berlaku.
Paling tidak, ia telah merugikan KPK dengan jumlah yang agak besar dan jika tidak dihentikan, akan berlanjutan agak lama sehingga nanti aset kayu balak KPK sudah tidak ada lagi untuk selama-lamanya.
Saya berharap kerajaan serta merta meneliti isu ini dan memberikan penjelasan kepada Rakyat Kelantan.
Adapun mengenai isu Ladang Rakyat, sungguh pun banyak aspek yang boleh diberikan teguran, untuk kali cukup ini untuk saya katakan, jika kerajaan berpuas hati dengan harga pajakan yang sebegitu rendah dan pihak lain mendapat keuntungan sebegitu besar, apa boleh saya buat.
Teruskan. Namun, janganlah kelemahan pengurusan seperti itu hendak dikaitkan dengan Tok Guru.
Mengenai isu TLC, YB Dato Haji Anuar Tan juga gagal bersikap telus selain mengaitkan nama Tok Guru semata-mata.
Nampaknya beliau terpisah dari realiti yang sedang berlaku di mana ratusan ribu hektar hutan simpan sedang ditebang.
Seingat saya, sekalipun Kerajaan telah meluluskan pada dasarnya satu-satu permohonan namun jika kawasan yang bersesuaian tidak wujud, kelulusan seperti itu boleh dibatalkan kecuali orang politik telah mempunyai ‘ikatan’ tertentu.
Tidak adil dan tidak bersopan untuk mengaitkan semuanya dengan Tok Guru yang telah meninggal dan tidak lagi mampu menjawab semua ‘tuduhan’ YB Dato Haji Anuar Tan itu.
Akhirnya, saya yakin, jika Tok Guru hidup semula, beliau akan bersama saya membetulkan apa yang telah saya tegur sekarang.
Kesimpulannya, saya tidak sangka YB Dato Haji Anuar Tan sanggup menggadaikan kredibilitinya selama ini dengan hujah-hujah murahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA