Jumaat, 4 November 2016

Husam ingatkan Exco Kelantan usah 'jual' nama Tok Guru, tipu rakyat berdosa

Husam Musa
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa mengingatkan ahli Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Anuar Tan Abdullah supaya tidak 'menjual' nama mantan Menteri Besar Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi melindungi kelemahan anak-anak syarikat kerajaan negeri yang bermasalah.
Ini kerana keputusan-keputusan perniagaan syarikat-syarikat terbabit dibuat setelah Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak lagi menjawat Menteri Besar.
Merujuk kenyataan media Anuar Tan pada 3 November lalu, Husam menegaskan "rela menjadi harimau terluka kerana diburu" daripada melindungi unsur penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri sekarang yang berlaku dalam berbagai cara dan skala.
Menyentuh tentang isu Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK), beliau mengingatkan bahawa transaksi KPK dan syarikat pembalakan Souncern diputuskan oleh Lembaga KPK pada 18 Mac 2014.
"Hampir setahun selepas Tok Guru tidak lagi menjadi MB. Tok Guru tidak menjadi MB sejak Mei 2013. Kenapa nak ‘jual’ nama Tok Guru? Ini lah sebenarnya cubaan memalukan Tok Guru.
"Perkara buruk hendak dilindungkan di belakang Tok Guru. Orang lain mendapat manisnya pada masa sekarang," kesal beliau.
Menyentuh isu Ladang Rakyat, Husam berkata banyak aspek yang boleh diberikan teguran namun jika kerajaan negeri berpuas hati dengan harga pajakan yang begitu rendah dan pihak lain mendapat keuntungan besar, beliau tidak boleh berbuat apa-apa.
Bagaimanapun beliau sekali lagi mengingatkan Anuar Tan agar tidak melindungi kelemahan pengurusan projek Ladang Rakyat dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz.
"Tidak adil dan tidak bersopan untuk mengaitkan semuanya dengan Tok Guru yang telah meninggal dan tidak lagi mampu menjawab semua ‘tuduhan’ YB Dato Haji Anuar Tan itu," tegasnya.
Husam juga kesal kerana Anuar Tan sanggup menggadaikan kredebiliti beliau dengan hujah-hujah murahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA