Selasa, 15 November 2016

Hukuman ke atas Rafizi hanya burukkan negara

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) melahirkan kekecewaan terhadap hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, hari ini atas tuduhan melanggar undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA) berkenaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu memberi gambaran buruk terhadap negara, lebih-lebih lagi 1MDB sudah menjadi buah mulut masyarakat global yang memandangnya sebagai kes rasuah besar.

NIK-NAZMi“Rafizi menggunakan maklumat diterima untuk melindungi mangsa 1MDB dan memberi pendedahan kepada salah laku yang berlaku secara terang-terangan juga terbukti memberi kesan buruk kepada kehidupan golongan pesara tentera.
“Perkara ini boleh dinilai sendiri daripada kenyataan serta tindakan pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang membuktikan dakwaan Rafizi ada kebenarannya, malahan bahagian laporan Ketua Audit Negara yang didedahkan itu juga memberi gambaran sama,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, kerajaan tidak boleh terus berselindung di atas alasan “rahsia” dan terus memberi perlindungan kepada kleptokrat yang merompak negara.
Justeru, katanya, undang-undang seperti OSA perlu dikaji semula kerana ia disalahgunakan untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak.
“Sepatutnya undang-undang digunakan untuk melindungi kepentingan rakyat, bukannya pentadbiran yang rakus,” katanya.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan memutuskan Rafizi gagal membangkitkan keraguan munasabah atas dakwaan yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.
Rafizi diwakili peguam Gobind Singh manakala Shukor Abu Bakar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA