Selasa, 22 November 2016

Hindraf minta campur tangan PBB bebaskan Maria Chin

P. Waythamoorthy juga meminta PBB memberi amaran kepada kerajaan Malaysia yang perundangan menindas itu bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia.
P.-Waythamoorthy-Zeid-Ra'ad-Al-Hussein
KUALA LUMPUR: Hindraf mendesak Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein untuk membantu membebaskan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Maria ditahan pada Jumaat lalu, pada malam menjelang himpunan Bersih 5, dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy juga meminta Zeid memberi amaran kepada kerajaan Malaysia yang perundangan menindas itu bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia.
Waytha dalam suratnya mengadu yang Maria ditahan dalam kurungan, sel sebesar 15 kaki x 8 kaki tanpa tingkap, tiada katil dan hanya simen.
“Dua mentol dihidupkan 24 jam,” katanya.
Menurut maklumat yang diperoleh NGO itu, Maria ditahan selama 2 hari sebelum keluarga dan peguam dibenarkan bertemu dengannya.

“Lokasinya tidak diketahui. Layanan tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah itu hanya boleh digambarkan sebagai seksaan.
“Ia tidak wajar langsung,” katanya.
Surat itu dihantar ke PBB untuk memaklumkan mengenai Maria, Bersih 2.0 dan himpunan Bersih 5.
Waytha berkata Maria ditahan di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.
Waytha memberitahu Zeid yang Malaysia berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia selama 2 penggal sehingga 2013.
Malaysia juga ahli tidak tetap bagi Majlis Keselamatan dan pengerusi kepada negara Asean.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA