Selasa, 15 November 2016

Himpunan Merah, Kuning berlandaskan nafsu - Pemuda Umno

Sekarang ini sedang hangat diperkatakan tentang Himpunan BERSIH5 iaitu puak berbaju 'kuning' yang akan mengadakan demonstrasi jalanan yang mana kemuncaknya dijangkakan berlaku pada hari Sabtu, 19 November 2016 ini.
Beberapa siri himpunan jalanan telah menyaksikan pertembungan kedua-dua puak ini, dan setiap kali pertembungan ini berlaku, pasti insiden kekasaran akan terjadi.
Saya antara rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua puak ini, baik yang 'kuning' mahupun 'merah'.
Puak 'kuning' dengan egonya mencabar keselamatan negara manakala puak berbaju 'merah' pula dengan lantang ingin menjadi polis 'tidak rasmi' kepada negara. Kedua-dua tindakan hanya dilihat berlandaskan nafsu semata-mata.
Walaupun perhimpunan aman sudah diwartakan dalam undang-undang Malaysia, namun garis panduannya masih kabur.
Kita ambil contoh seperti di Indonesia, setiap perhimpunan itu akan bersurai setelah jam 5 petang dan jika gagal, kerajaan boleh mengambil tindakan.
Tetapi tidak di Malaysia, apabila penganjur dilihat bebas dan boleh melakukan apa sahaja, seperti memecahkan harta benda awam, provokasi melampau malah boleh duduk di satu-satu kawasan sehingga 2 ke 3 hari.
Dari sudut agama pula, ia jelas mengatakan bahawa kemungkaran tidak seharusnya dibalas dengan kemungkaran.
Adakah di negara Malaysia yang mana di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan Islam agama rasmi, pertembungan dua puak ini dibenarkan oleh pemerintah? Tentu sekali jawapannya tidak. Kerana apa? Kerana ia akan membawa lebih kemungkaran dan keburukan daripada kebaikan.
Logiknya biarlah anggota keselamatan kita yang menjalankan tugas mereka menghalang puak-puak berbaju 'kuning' ini daripada merealisasikan impian berdemontrasi mereka berlandaskan kepada undang-undang sedia ada.
Tidak perlu ada puak berbaju 'merah' yang mengambil tugas anggota keselamatan kerana akhirnya jelas kelihatan bahawa perilaku dan tindakan mereka akan lebih mengeruhkan keadaan.

Saya mewakili rakyat Malaysia menyeru agar pemimpin negara yang majoritinya beragama Islam dan menyanjung Islam sebagai agama rasmi memastikan demonstrasi serta pertembungan antara puak 'kuning' dan puak 'merah' ini dihentikan.
Kerahkan seberapa banyak mungkin pasukan keselamatan di seluruh pelusuk negara berkawal di Kuala Lumpur bermula Jumaat, 18 November 2016 sehingga ia aman.
Rakyat sudah mual dan muak dengan tindakan puak 'kuning' dan 'merah' yang tiada objektif yang jelas.
Jangan biarkan tindakan yang dilakukan oleh puak-puak ini menjejaskan keharmonian di negara kita.
Pasukan keselamatan negara pasti akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. Tidak perlu ada pihak yang cuba menjadi pasukan keselamatan 'tidak rasmi' negara.
Gunakan akal dan bukan emosi dalam melakukan tindakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA