Jumaat, 18 November 2016

HIMPUNAN BERSIH5 'TIDAK HARAM', IKUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?

Kempen yang disebarkan supaya orang ramai menyertai BERSIH5.
Penjawat awam itu siapa? Guru itu siapa? Pensyarah dan pelajar itu siapa? Juga,  belia itu siapa?
Bukankah mereka rakyat yang dijamin Perlembagaan untuk bebas menyuarakan pendapat dalam negara demokrasi seperti Malaysia?
Menyekat kebebasan rakyat adalah zalim. Dan zalim juga bagi rakyat yang melanggar peraturan ditetapkan dalam menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.
Namun jika menyuarakan pendapat secara mematuhi peraturan seperti menyertai perhimpunan yang terkawal, apakah ia suatu ‘dosa besar’ yang perlu dikenakan tindakan dan hukuman berat?
Mereka hanya mahu menyuarakan pendapat dan pandangan. Kenapa mesti ada tindak balas yang berlebihan?
Sewajarnya tidak ada provoksi sama ada oleh pihak yang berhimpun, mahupun yang ‘menentang perhimpunan itu diadakan’.
Pihak berkuasa cukup jentera untuk kawal keselamatan sepanjang perhimpunan itu. Tindakan secara peribadi atau kumpulan lain terhadap BERSIH5 tidak perlu sama sekali.
Jika ada pihak umpamanya Barisan Nasional, UMNO atau badan bukan kerajaan (NGO) lain, termasuk Baju Merah,  mahu mengadakan perhimpunan untuk agenda mereka, carilah tarikh lain.
Jangan haling mereka, lihat setakat mana BERSIH5 mahu menyuarakan pandangan.
Kerajaan mempunyai jentera penerangan dan ‘serangan siber’ yang canggih untuk melawan mereka.
Jelas dan terangkan kepada rakyat apa yang tidak benar dibawa oleh BERSIH5. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga ada jentera maklumatnya.
Apa nak dihairankan dengan perhimpunan seperti itu. Mudah untuk dipatahkan hujah mereka jika kerajaan menggunakan ‘kebijaksanaan jentera penerangan dan maklumatnya.”
Lagipun, jelas BERSIH5 bukan perhimpunan haram. Ia sesuatu yang dibenarkan.
Berasaskan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam, jelas perhimpunan BERSIH5 Sabtu ini bukan haram..
Lewat petang semalam, mahkamah berkenaan  menolak permohonan tiga kumpulan untuk menghalang BERSIH5 dan perhimpunan Baju Merah, Sabtu ini.
Mahkamah tidak dapat mengisytiharkan sesebuah perhimpunan itu sebagai haram selepas permohonan dibuat oleh  persatuan peniaga di Jalan Masjid India, Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Mara di Kuala Lumpur supaya mengisytiharkannya ‘haram’.

Persatuan itu  mendakwa mewakili kira-kira 1,000 peniaga.
Hakim S Nantha Balan berkata plaintif dalam permohonan injuksi inter-parte tidak menunjukkan merit. Jesteru itu, beliau menolaknya. Beliau terkejut apabila peguam BERSIH dan Baju Merah sama-sama menolak permohonan itu.

“Luar biasa sekali Baju Kuning dan Baju Merah boleh sepakat terhadap permohonan injuksi peniaga-peniaga di dan sekitar Dataran Merdeka,” katanya, ketika memulakan keputusannya.
Penghakiman Mahkamah Tinggi itu disampaikan pada 7.20 petang semalam dan tamat 15 minit kemudian.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam turut mengeluatkan amaran kepada penjawat awam dengan menegaskan, lazimnya penjawat awam tahu yang mereka tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka tidak akan menyertai perhimpunan kali ini.
Berikutan itu beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai sebarang kumpulan atau perhimpunan yang tidak diluluskan di ibu negara Sabtu ini.
Mereka berdepan tindakan tatatertib termasuk buang kerja atau potong gaji.
Penjawat awam perlu ‘berkecuali’ – tidak menyertai Bersih5 yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, atau satu lagi pergerakan, yang menamakan mereka kumpulan Baju Merah.
Pada ketika Bersih5 menuntut pilihan raya yang bersih, Baju Merah mendakwa Bersih menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Baju merah mengugut untuk menganjurkan perhimpunan balas di tempat sama dan pada hari yang sama.
Tegasnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang sekiranya gambar mereka terlibat dalam perhimpunan tidak sah itu tersiar dalam mana-mana media.yang memberikan amaran itu.
Bagi penjawat awam yang menyokong BERSIH5 atau Baju Merah, mereka wajar tinggal di rumah sepanjang hari (lusa)  atau melakukan aktiviti lain tetapi jangan sertai perhimpunan.
Jika membantah atau tidak bersetuju, pendamkan sahaja di dalam hati. Islam ada cara menolak sesuatu perkara sehingga memendamkan di dalam hati dan menolaknya secara niat atau menyerahkan kepada Allah untuk menentukannya.
Dalam proses demokrasi, rakyat boleh menolaknya pada hari mengundi. Di hadapan kertas undi mereka boleh menyokong dan membantah.
Ali Hamsa tidak menyebut secara jelas, apa peruntukan undang-undang boleh digunakan terhadap penjawat awam yang menyertainya tetapi cara beliau mengeluarkan arahan akan menyebabkan penjawat awam yang menentang akan memendam rasa dan meluahnya melalui kertas undi.
Selain KSN, Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menghalang guru menyertai perhimpunan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain.
Katanya semua guru dilarang menyertai BERSIH5 atau berdepan tindakan disiplin. Mereka boleh dihukum ‘gantung dari tugas’.
‘Selain guru, pegawai dan kakitangan kementerian, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah yang menyertai perhimpunan berdepan tindakan yang sama,” katanya kelmarin.
Malah beliau meminta ibu bapa dan penjara, jangan benarkan pelajar sekolah menyertai perhimpuan berkenaan.
Pandangan Ali Hamsa serta Mahadzir itu jelas bertentangan dengan apa yang disebut oleh bekas penjawat awam yang berpengalaman, Tan Sri Razali Ismail yang kini menjawat  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Sangat bertentangan dengan pendapat KSN kerana menurut Razali, larangan dan ugutan itu menjadi pelanggaran terhadap Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan jika hak kebebasan berhimpun secara aman disekat.
 “SUHAKAM mengulangi lagi iaitu menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), semua rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun demikian Razali menekankan,  sementara hak untuk mengadakan demonstrasi balas perlu dikekalkan, polis dan pihak berkuasa perlu memastikan tindakan peserta tidak berubah menjadi ugutan dan merusuh.
Beliau berkata SUHAKAM menyokong usaha polis menunjukkan disiplin dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.
“Ini ialah ciri kematangan politik,” katanya.

Selain itu, katanya SUHAKAM akan memantau perhimpunan berkenaan dan jabatan aduannya akan menerima laporan daripada orang awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA