Selasa, 15 November 2016

Hidung berdarah sikit pun, mahu darah dibalas darah?

Kecoh dengan hidungnya yang berdarah akibat bergelut dengan polis, kenyataan ketua kumpulan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos bahawa “darah diganti dengan darah” bagi Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir dianggap sebagai keterlaluan.
“Hidung berdarah sikit pun, mahu darah dibalas darah? Manusia apa? Orang di Syria yang cakap begitu. Orang yang membunuh di Iraq dan Yaman.
“Di Malaysia, usahlah ditimbulkan soal darah dibalas darah,” ujarnya ketika ditanya pemberita pada sidang media berhubung himpunan Bersih 5 di Wisma Amanah di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tersebut berhak untuk berjuang atas apa yang hendak diketengahkan tetapi sama sekali bukan melalui keganasan.
“Bila tolak-menolak begitu, berlakulah perkara tidak diingini. Tuduh, tarik balik. Kami sentiasa tegaskan sesiapa pun yang menyertai Bersih 5 adalah mereka yang percaya pada protes tanpa kekerasan,” ujarnya merujuk kepada kekecohan Geng Baju Merah di pusat beli-belah Ampang Point, Selangor kelmarin.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, negara ini mendaulatkan undang-undang dan berpegang pada Keluhuran Perlembagaan serta mematuhi prinsip Kesopanan dan kesusilaan seperti terkandung dalam Rukun Negara

“Ini (berhimpun) hak rakyat di negara bertamadun dan diakui oleh hak asasi manusia. Hak untuk menyatakan pandangan itu adalah hak bagi manusia yang waras,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap himpunan Bersih 5 dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 30,000 ahli dan penyokong Amanah itu akan berlangsung secara aman tanpa provokasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Himpunan ini adalah suara tuntutan kepada pilihan raya yang adil dan bersih. Pastikan jangan ada terlepas untuk menyertai himpunan yang bersejarah ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan menyifatkan pihaknya tidak melayan sebarang bentuk provokasi pihak tertentu berhubung penganjuran himpunan Bersih 5.
“Kita berharap pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) memainkan peranan dalam himpunan ini nanti,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA