Sabtu, 5 November 2016

Henti sikap memilih kerja, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi meramalkan zaman yang lebih sukar dan rakyat Malaysia mesti bersedia merebut sebarang peluang pekerjaan yang ada.
Hoo Kee PingKUALA LUMPUR: Pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan mengenai pengangguran, selepas angka-angka rasmi menunjukkan sehingga 75,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan sejak 2015 dan hampir 200,000 graduan menganggur selama lebih 6 bulan.
Mereka menjangkakan prospek kekal suram dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana syarikat-syarikat mengurangkan kos bagi membayar hutang.
Prof Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti berkata, rakyat Malaysia perlu menghadapi realiti zaman yang lebih sukar dan bersedia “merebut mana-mana kerja sambilan, sementara atau kerja bergaji rendah”.
Beliau berkata rakyat Malaysia tidak boleh mengharapkan pekerjaan dengan gaji tinggi. “Masa sudah berubah. Itulah hakikatnya,” katanya kepada FMT.
Graduan baharu bernasib baik jika memperoleh kerja dan perlu menangguhkan impian mereka untuk membeli kereta atau rumah.
“Pada masa ini, syarikat-syarikat tidak mengambil pekerja kerana mereka mahu pengurusan yang kecil. Mereka memerlukan wang tunai tambahan untuk membayar hutang. Beberapa syarikat tidak tahu jika mereka akan terus bertahan.
Pekerja tidak akan tahu bila mereka hilang pekerjaan,” katanya.
Nazari berkata banyak syarikat mengambil pinjaman pada masa ekonomi baik untuk bersaing dengan satu sama lain.
“Kini dengan masa yang sukar, syarikat-syarikat terpaksa melaksanakan pengurusan lebih kecil dengan mengurangkan tambahan bagi mengendalikan dan menguruskan kewangan mereka.”
Sebab ke-2 katanya adalah disebabkan ketidaktentuan politik negara.
“Ketidaktentuan politik menyebabkan kebimbangan lain, ringgit turun dan ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian perniagaan dengan negara-negara asing.”
Ditanya jika lawatan kerajaan baru-baru ini ke China yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengukuhkan hubungan dan peluang pelaburan terbuka bagi rakyat Malaysia, akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, beliau berkata ia hanya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia jika kos projek kekal rendah.
“Ia bergantung. Jika projek-projek ditandatangani itu tidak melambung harganya, ia mungkin mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, “katanya.

Najib menyaksikan majlis menandatangani 14 perjanjian bagi projek-projek bernilai RM144 bilion antara syarikat Malaysia dan China.
Di Parlimen minggu lalu, ahli Parlimen diberitahu 75 ribu rakyat Malaysia diberhentikan sejak 2015 dan hampir 200,000 graduan masih mencari pekerjaan.
Pakar ekonomi, Prof Hoo Kee Ping berkata pegawai pendidikan perlu menghasilkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan industri.
“Kita masih mempunyai beribu-ribu graduan psikologi dan lainnya yang tidak mempunyai permintaan. Perlu ada pihak yang mengimbangi bilangan graduan diperlukan dalam industri. Mengapa hasilkan sesuatu yang tidak diperlukan industri. Ia adalah satu pembaziran wang pembayar cukai dan masa semua orang. ”
Hoo berasa kerjasama dengan China mungkin memberi manfaat kepada Malaysia tetapi pengangguran akan kekal menjadi masalah utama kerana penutupan syarikat atau pengurangan tenaga kerja.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu menghadapi ketidakpastian dan lepasan sekolah yang mendaftar untuk ke kolej perlu menilai keperluan pasaran sebelum mendaftar demi masa depan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA