Khamis, 24 November 2016

Henti serang PAS jika ingin bekerjasama, kata naib presiden kepada Dr M

Naib presiden PAS memberi amaran kepada Dr Mahathir agar berhenti menyerang PAS jika mahu ia bekerjasama dengannya menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.
Mohd-Amar-Nik-Abdullah
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti bercakap tentang politik atau menyerang PAS jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bekerjasama dengan parti Islam itu, kata Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Amar memberi amaran agar Dr Mahathir berhenti menyerang PAS jika mahu bekerjasama dengannya.
“Jika PPBM benar-benar mahu bekerjasama dengan PAS untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, Dr Mahathir perlu menjaga mulutnya dan ingat beliau tidak lagi menjadi perdana menteri. Beliau mesti tahu sempadannya,” kata Amar kepada pemberita selepas mesyuarat exco semalam.
Amar berkata kebanyakan perkara yang dikritik pengerusi PPBM itu adalah perkara yang beliau lakukan semasa menjadi perdana menteri.
“Beliau tidak mempunyai pekerjaan sekarang. Itulah sebabnya beliau melakukan semua ini dan membangkitkan pelbagai perkara, walaupun kebanyakannya mengenai perkara yang dilakukannya sebelum ini.
“Sebagai contoh, beliau pernah menyekat orang daripada menyertai perhimpunan, tetapi kini beliau menyertainya sendiri.”
Amar berkata, Dr Mahathir hanya akan berhenti bercakap apabila semua orang mula mengikut semua kehendaknya.
“Itu memang caranya. Beliau akan melakukan apa sahaja, termasuk menyerang PAS. Beliau hanya akan berhenti bercakap apabila semua orang mengikutinya,” kata Amar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA