Selasa, 22 November 2016

Hari kedua vigil bebas Maria, aktivis OKU ikrar mogok lapar

Acara malam ini beralih di jalan raya berhampiran selepas DBKL menutup Dataran Merdeka pada sebelah malam, bermula hari ini sehingga 29 November.
bebas-maria-1
KUALA LUMPUR: Momentum vigil di Dataran Merdeka untuk mendesak pembebasan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terus konsisten apabila hampir 1,000 penyokong menyertainya malam ini.
Malah aktivis Orang Kelainan Upaya (OKU) Isaiah Jacob berikrar untuk mogok lapar sehingga Maria dibebaskan.
“Walaupun kurang daripada segi fizikal, tetapi mental saya lebih kuat daripada orang biasa.
“Saya juga akan bermalam di sini bermula Jumaat ini sehinggalah Maria dibebaskan,” katanya ketika berucap malam ini.
Ketika ditemui FMT, Isaiah berkata beliau melakukannya demi “Maria dan negara”.
“Saya tidak makan dan minum apa-apa, kecuali sedikit air kosong apabila tekak dan bibir terlalu kering. Saya juga tidak takut dengan kemungkinan diganggu penguat kuasa pabila bermalam di sini nanti,” katanya.
Vigil bermula semalam selepas Maria ditahan pada 18 November lalu, sehari sebelum himpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Acara yang pada mulanya diadakan di kawasan air pancur berdepan menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beralih ke kawasan jalan raya selepas arahan penguatkuasa DBKL.
Skrin besar di Dataran Merdeka memaparkan arahan datuk bandar menyatakan kawasan itu ditutup dari 22 hingga 29 November bermula pukul 5 petang hingga 7 pagi, namun tidak menyatakan sebarang sebab.
Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang yang turut hadir berkata beliau gembira melihat ramai yang hadir pada malam kedua bagi menyatakan sokongan terhadap Maria.
“Kita mahu Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dengar. Jika tidak setiap malam kita akan di sini.

“Hari kedua semakin ramai, adakah anda semua menyokong pengganas?,” soalnya, disambut laungan “tidak” para hadirin.
Beliau merujuk penahanan Maria di bawah Sosma, akta yang diwartakan pada Jun 2012 bagi menangani kegiatan keganasan.
Namun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika ditanya pemberita hari ini berkata Maria tidak ditahan atas dakwaan keganasan, tetapi selepas laporan polis dibuat ke atasnya.
“Dia disiasat di bawah Kanun Prosedur Jenayah, iaitu di bawah Sosma untuk membenarkan polis menyiasatnya,” katanya yang meminta pemberita merujuk ketua polis negara untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA