Rabu, 9 November 2016

Harga makanan mula naik, kehidupan rakyat semakin sukar

Seminggu selepas berkuatkuasanya pemansuhan subsidi minyak masak harga makanan di kedai-kedai makan di Kuala Lumpur mula meningkat.
Tinjauan di beberapa buah kedai kopi dan restoran di Kepong serta Segambut mengesan kenaikan harga jualan bahan makanan di antara 20 sen hingga 50 sen.
Rakyat marhaen: Harga makanan mula naik, kehidupan semakin sukarManakala rakyat biasa mula bimbang merasakan pendapatan mereka menyusut dengan pantas dan tidak mampu lagi menyimpan wang bagi kegunaan di usia tua.
Rajan, 35 tahun, seorang pekerja kedai barangan elektrik mengeluh kerana wang gajinya hampir-hampir tidak mampu menyara kos kehidupan keluarga.
“Anak saya dua orang di sekolah rendah dan seorang lagi di tadika. Sekarang pendapatan saya sudah hampir tak mampu sara keluarga.
“Isteri saya sedang cari kerja separuh masa sejak enam bulan lalu tetapi masih belum berjaya. Tidak banyak yang boleh kami lakukan. Saya akan pergi menyertai perhimpunan Bersih pada 19 November nanti untuk bantah kenaikan gila-gila kos sara hidup ini,” katanya. Beliau juga memberitahu angka jualan di kedai tempatnya berkerja turun sebanyak 50% kerana pelanggan semakin berjimat cermat.
Seorang ibu tunggal, Kimberly Lee, 45 tahun pula berkata, kos sara hidup sudah berada pada paras ‘membunuh’. Beliau yang sering membeli minyak masak botol 2 kilogram memberitahu semakin sukar untuk membeli produk tersebut kerana kekurangan stok sementara harga botol 5kg pula terlalu mahal dan meningkat sehingga RM5 – RM7 hanganya.
“Mengapa hal ini berlaku, bukankah Malaysia pengeluar minyak sawit terbesar di dunia? Kenaikan harga petrol dan minyak masak serentak bawa kesusahan berganda kepada rakyat. Saya menggesa harga minyak masak 1kg dan 2kg diturunkan dengan segera,” katanya.
Selain itu, Kimberly yang bekerja di kilang mengadu pendapatannya berkurangan sejak beberapa bulan ini kerana tidak lagi dibenarkan melakukan kerja lebih masa.
“Dulu sebelum bulan Ogos, gaji saya lebih banyak. Gaji pokok RM1,300 campur kerja overtime RM500, jumlah gaji bulanan RM1,800 tetapi sejak kebelakangan ini angka tempahan dan penjualan barang kilang telah turun dan kami tidak dibenar lagi ambil overtime,” keluhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA