Rabu, 23 November 2016

Hanya parti Shafie boleh lawan BN di Sabah, kata Jufazli

Bagaimanapun beliau percaya Pakatan Harapan masih ada masa depan dengan syarat ia 'bermula dari kosong'.
Jufazli-Shi-Ahmad
KUALA LUMPUR: Aktivis muda popular dari Sabah, Jufazli Shi Ahmad, percaya hanya Parti Warisan Sabah yang ditubuhkan bulan lalu oleh bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, mampu memberi saingan kepada Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Jufazli, pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah yang baru-baru ini ditahan polis dipercayai susulan kelantangannya mengkritik kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman, berkata rakyat Sabah mahukan sebuah parti tempatan yang benar-benar kuat untuk melawan Musa.
“Setakat ini yang ada hanya Parti Warisan Sabah pimpinan Shafie,” katanya kepada FMT.
“Ini kerana mereka sangat jelas, malah 150% menentang Musa Aman dan kerajaan BN,” katanya lagi.
Menurutnya, pembangkang tempatan lain seperti Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pimpinan Datuk Seri Lajim Ukin dan United Sabah Alliance (USA) – gabungan Angkatan Perubahan Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah dan dipimpin Datuk Jeffrey Kitingan, bukanlah pilihan yang baik.
“USA membawa gaya politik tidak jelas, mereka adalah pembangkang tapi pada masa sama bekerjasama dengan BN. PHRS pula menimbulkan persoalan, apabila pendaftaran parti itu mendapat kelulusan dengan cepat berbanding Warisan,” kata Jufazli.
Pakatan perlu mula dari kosong
Bagaimanapun, Jufazli tidak menolak masa depan politik parti Pakatan Harapan seperti DAP dan PKR di Sabah, tetapi berkata mereka perlu bermula “dari kosong” untuk kembali memenangi rakyat negeri itu, katanya.
Beliau menambah, kajian menunjukkan gabungan itu ketika masih menggunakan nama Pakatan Rakyat menikmati sokongan kuat di negeri, tetapi keadaan sudah berubah.
“Politik ini sangat cepat berubah, bukan? Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada Pakatan di Sabah kerana saya tahu mereka memiliki beberapa pemimpin yang bijak.
“Ketika itu fungsi pembangkang hanya tertumpu kepada mereka,” katanya sambil berkata perubahan berlaku selepas tindakan Umno ke atas Shafie, serta langkah beberapa pemimpin Pakatan Harapan keluar daripada parti masing-masing.
Selain Lajim yang meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sabah, tokoh utama yang mengambil langkah demikian September lalu adalah bekas naib presiden PKR Darell Leiking dan bekas setiausaha DAP Sabah, Junz Wong.

Jufazli berkata Pakatan Harapan perlu segera bermula dari kosong di Sabah, serta tidak membuat kesilapan sama oleh rakan mereka di Sarawak ketika pilihan raya negeri beberapa bulan yang lalu.
“Jika Pakatan bawa (isu nasional seperti) GST, sangat susah untuk raih kepercayaan rakyat Sabah. Bagi mereka ada hal yang lebih besar daripada itu, seperti isu royalti minyak, Perjanjian Malaysia 1963 dan isu pembangunan.
“Pakatan perlu menyampaikan mesej yang mereka memang bersungguh-sungguh mempertahankan hak rakyat Sabah dan bawa isu yang tepat. Begitu juga dengan janji pembangunan jika mentadbir negeri, yang pada masa ini masih tidak jelas,” katanya lagi.
Pada PRN Sarawak, strategi PKR dan DAP yang turut memfokuskan isu GST dan 1MDB ketika berkempen gagal melawan janji pembangunan dan sentimen kenegerian penduduk Sarawak yang dibawa BN dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
PKR dan DAP gagal mempertahankan sejumlah kerusi yang dimenangi mereka pada PRN 2011, manakala PAS dan Amanah tewas di kesemua kerusi yang ditandinginya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA