Selasa, 8 November 2016

Hanya Mahfuz daripada PAS undi tolak Bajet 2017

Semua wakil rakyat PAS lain tidak turut serta dengan pembangkang lain dalam menolak peruntukan Bajet 2017 di Dewan Rakyat semalam.
Datuk_Mahfuz_OmarKUALA LUMPUR: Semua kecuali seorang wakil rakyat PAS tidak turut bersama wakil rakyat pembangkang lain dalam menolak Bajet 2017, ketika undian mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di peringkat dasar diadakan di Dewan Rakyat malam semalam.
Ketika undian dilakukan, seramai 117 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang hadir menyokong, 70 ahli pembangkang menolak, manakala 11 daripada 14 wakil PAS tidak mengundi.
Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) tidak hadir pada sesi mengundi.
Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) merupakan satu-satunya wakil PAS yang mengundi menolak RUU itu, yang bertujuan memperuntukkan RM260.8 bilion yang disediakan Bajet 2017.
Sebelum ini, Mahfuz satu-satunya wakil PAS yang mengikut ahli Parlimen PKR, DAP, Amanah dan PPBM melangkah keluar Dewan ketika Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan bajet pada 21 Oktober.
Ditanya mengapa wakil rakyat parti itu tidak mengundi, Nasrudin Hassan Tantawi (PAS-Temerloh) berkata PAS menyokong beberapa aspek bajet.
“PAS memilih pendekatan sendiri. Kami tidak mahu undi kami ditafsirkan sebagai menerima atau menolak sepenuhnya apa yang disenaraikan dalam bajet.
“Ada perkara yang kami bantah dan kami sudah membantahnya ketika perdebatan,” katanya kepada wartawan, memberi contoh cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB sebagai antara perkara yang ditentang parti itu.
Nasrudin berkata perbincangan lanjut akan diadakan apabila Bajet 2017 dibahaskan di peringkat jawatankuasa hari ini.
Turut tidak hadir ketika undian “block” (belah bahagian) semalam ialah Najib, yang meninggalkan dewan sejurus sebelum undian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA