Rabu, 23 November 2016

Halau wartawan: NUJ harap MB, Umno Pahang baiki kesilapan

NUJ berpuas hati dengan permohonan maaf Annuar dan isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi, kerjasama wartawan dan pemimpin masyarakat perlu dijalin semula.
nuj-annuarmusa
PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menerima permohonan maaf Tan Sri Annuar Musa berhubung kejadian petugas media Pahang dihalau daripada Konvensyen Umno negeri itu, baru-baru ini.
Bercakap kepada FMT, wakil NUJ berkata, permohonan maaf ketua penerangan Umno itu sekaligus menjernihkan salah faham yang timbul.
“NUJ berpuas hati dengan permohonan maaf Annuar. Isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi. Hidup perlu diteruskan. Kerjasama antara wartawan dan pemimpin masyarakat perlu dijalin semula.
“Bagaimanapun, NUJ berharap menteri besar dan Umno Pahang dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan tidak mengulanginya lagi. Ini bukan soal siapa betul siapa salah, tetapi lebih kepada menjernihkan kembali keadaan.
“Maka, NUJ berharap menteri besar dan Umno Pahang dapat memperbaiki kesilapan agar kerjasama dapat dijalinkan semula dengan wartawan,” katanya hari ini.
Ahad lalu, wartawan memuat naik ke media sosial menyatakan media dimaklumkan mereka boleh membuat liputan majlis perasmian konvensyen itu yang dihadiri Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun, ketika di majlis itu, nota diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kemudiannya dengan tegas meminta wartawan keluar.
Ia disusuli ahli Umno Pahang melaungkan “boo” dan “Keluar! Keluar!” kepada media yang hadir.
Semalam, Annuar dalam satu kenyataan memohon maaf kepada petugas media Pahang dan berkata, petugas media adalah golongan profesional serta perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas secara profesional.

“Saya bagi pihak Umno Malaysia, memohon maaf kepada kawan-kawan (petugas media) yang bertugas pada hari itu yang terasa hati dengan insiden tersebut.
“Walaupun ini soal Umno Pahang, tetapi majlis itu majlis parti dan saya sebagai ketua penerangan, sudah tentu saya tidak gembira dengan apa yang berlaku,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA