Rabu, 16 November 2016

Halal atau haram? Bersih 5 menurut Islam

Menjawab 5 persoalan yang menjadi keraguan segelintir umat Islam mengenai perhimpunan Bersih 5 Sabtu ini.
bersih-5
Oleh Lokman Salleh
Islam membenarkan demonstrasi untuk meluahkan perasaan secara aman. Namun, bagaimanakah kaedah yang sepatutnya supaya ia selaras dengan syariat?
Meluahkan perasaan secara kolektif merupakan fitrah manusia, terutamanya manusia bertamadun. Ia termasuklah menyatakan sokongan serta dokongan, menyambut kepulangan orang yang disayang seperti pemimpin, atau orang yang mempunyai tempat di dalam hati kumpulan atau masyarakat, dan juga melahirkan bantahan ataupun pendapat yang berlainan.
Isunya bukanlah berkenaan boleh atau tidak untuk berdemonstrasi. Sebabnya di dalam Islam, sebarang perbuatan selain amal ibadat khusus adalah harus dan tidak memerlukan dalil untuk menunjukkan kebenarannya, selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya.
Ulama fiqh menyatakan: “Hukum asal bagi sesuatu perkara (yang tidak disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah) adalah harus selagi mana tidak menghalalkan yang jelas haram, ataupun mengharamkan yang jelas halal.”
Malah masyarakat berkumpul untuk menzahirkan perasaan acapkali berlaku di zaman Nabi.
Sebagai contoh, sambutan penduduk Madinah yang menyambut kedatangan Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah dari Mekah, perarakan penduduk Madinah ketika menyambut kelahiran Abdullah bin Zubair, ataupun penzahiran kekuatan kaum Muslimin dengan bertawaf sekeliling Kaabah di Mekah sewaktu Umar al-Khattab memeluk Islam.
Kesimpulannya, perbuatan seperti demonstrasi tidak diharamkan sama ada di dalam Al-Quran mahupun Sunnah.
Bagaimanakah kaedah atau cara bagi mengimbang di antara mudarat di sebalik demonstrasi seperti gangguan kepada peniaga di sekitar tempat demokrasi? Dan, apakah langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengatasi permasalahan ini?
Demonstrasi seringkali membawa keuntungan bagi para peniaga. Logiknya adalah, apabila ramai orang berhimpun, maka semakin ramai pelanggan yang akan datang membeli barang berbanding hari-hari biasa.
Namun, janganlah pula pihak berkuasa memomokkan demonstrasi ini dengan menyamakannya seperti pemberontakan ataupun rusuhan. Itu isu lain.
Perhimpunan aman adalah satu peluang untuk para peniaga mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding hari-hari lain.
Pihak berkuasa juga janganlah memprovokasikan para demonstran ataupun menangkap mereka sesuka-hati.
Kita seharusnya mengambil contoh daripada para anggota keselamatan di negara-negara maju seperti Amerika, UK, negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi dalam membantu para demonstran agar demonstrasi berjalan lancar dan tidak menganggu trafik.
Kekecohan demonstrasi hanya berlaku apabila ada pihak yang membuat provokasi. Dalam kes ini rakyat Malaysia, samada para demonstran mahupun pihak anggota keselamatan haruslah saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan berusaha memastikan keamanan terjaga.
Justeru, kerajaan haruslah juga mengambil teladan daripada kerajaan negara-negara maju. Yakni, professional dan bersedia mendengar suara rakyat. Sikap ini akan membuatkan rakyat lebih menghormati kerajaan dan menyayangi mereka walaupun ada isu yang mereka tidak bersetuju.
Kerajaan tidak perlulah khuatir atau bimbang kerana rakyat Malaysia tidak akan memberontak ataupun melancarkan revolusi seperti di negara Arab dan Afrika.
Rakyat kita mempunyai kerjaya dan urusan rumah masing-masing. Mereka akan balik ke rumah setelah penat, dan panas. Malahan, rakyat Malaysia juga cukup makan dan tidak kelaparan seperti rakyat dunia ketiga yang menjadikan demonstrasi sebagai wahana pemberontakan. Memberontak bukan budaya rakyat Malaysia.

Apakah matlamat Bersih 5? Dan, apakah yang hendak dicapai daripada perhimpunan ini?
Pilihan raya masih lagi menjadi satu-satunya wahana untuk rakyat memilih pemimpin bagi mewakili mereka di Parlimen setakat ini, iaitu untuk memerintah dan menggubal undang-undang di Malaysia.
Malah, pilihan raya merupakan jaminan agar suara dan kehendak rakyat terbanyak yang memerintah Malaysia.
Namun, untuk mencapai matlamat tersebut dan dilaksanakan secara adil, maka pilihan raya yang dijalankan hendaklah bersih daripada penipuan dan salahguna kuasa serta bebas kepada mereka yang menyertai tanpa sebarang sekatan dan halangan. Malah, ia juga haruslah TELUS, agar tidak berlaku penyelewengan seterusnya menjamin keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya tersebut.
Ketiga-tiga elemen bersih, bebas dan telus inilah yang semakin terhakis dan diragui di dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia hari ini. Maka, Bersih 5 merupakan salah satu daripada desakan suara rakyat agar hak mereka tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa.
Tindakan berhimpun untuk menyatakan tuntutan rakyat agar sistem dan perjalanan pilihan raya di Malaysia diperbaiki agar lebih bersih, bebas dan telus bukanlah sesuatu yang pelik, bertentangan dengan undang-undang ataupun subversif.
Justeru, ia merupakan sesuatu yang dijamin oleh Perlembagaan (Artikel 10) dan juga bertepatan dengan konsep keadilan yang menjadi tonggak politik negara ini semenjak merdeka.
Mengapakah Bersih 5 bergabung dengan kelompok yang memperjuangkan hak LGBT dan lain-lain yang sewaktu dengannya?
Amat malang apabila perjuangan menegakkan keadilan dan ketelusan yang merupakan nilai Islam ini diterajui mereka, dan bukannya para ulama dan organisasi yang melaungkan perjuangn Islam.
Lebih malang lagi apabila agamawan yang ada digambarkan lebih bersikap selektif dan sanggup mempertahankan kezaliman berbanding memperjuangkan hak rakyat. Ia juga lebih menyedihkan apabila pihak berkuasa agama juga seakan membisu ke atas penyelewengan di dalam pilihan raya yang berlaku.
Apakah di dalam keadaan ini kita mahu berpihak kepada mereka yang menentang penipuan dan penyelewengan, tetapi bukan Islam?
Ataupun kita terus berpihak kepada mereka yang menipu dan menyeleweng hanya kerana mereka Muslim?
Apakah Islam agama yang menyokong penipuan dan penyelewengan? Apakah Islam menghalalkan salah guna kuasa?
Bersih sudah 5 kali diadakan, namun kelihatannya seperti masih tiada sebarang perubahan. Adakah ianya masih relevan?
Ya. Jika dikatakan tidak relevan kerna dilihat tidak memberi sebarang kesan lagi semenjak dilaksanakan, maka banyaklah yang tidak relevan dan tidak harus dilaksanakan lagi.
Saya beri analogi mudah.
Dalam satu Negara XYZ, ada satu Gerakan PS. Gerakan PS telah menyertai pilihanraya semenjak sebelum Negara XYZ mencapai kemerdekaan lagi, iaitu sudah 17 kali.
Namun, sejak daripada itu juga, mereka menemui kegagalan. Gerakan PS itu tidak pernah pun walau sekali memenangi dan memerintah Negara XYZ sepanjang tempoh berkenaan.
Jika mengikut sifir tadi, apakah ini bermaksud Gerakan PS tidak perlu lagi menyertai pilihan raya? Dan, apakah Gerakan PS perlu dibubarkan kerana sering menemui kegagalan?
Jika dikatakan Gerakan PS relevan untuk terus wujud dan bertanding dalam pilihan raya kerana mereka berterusan dan tekad dalam perjuangannya, maka apakah pula yang menghalang perjuangan yang dibawa oleh Bersih 5, untuk wujud serta berjuang berterusan juga sehingga berjaya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA